Masalah tali pusat terbelit adalah perkara biasa buat bayi dalam kandungan
Nuctal Cord atau tali pusat terbelit merupakan masalah biasa yang terjadi kepada bayi di dalam kandungan sama ada ketika hamil atau di saat kelahiran.
Tali pusat merupakan sumber kehidupan bayi. Ia membekalkan darah, oksigen dan nutrien yang diperlukan sepanjang berada di dalam rahim. Persoalannya, adakah tali pusat terbelit membahayakan nyawa bayi?
Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, masalah tali pusat terbelit adalah perkara biasa yang sering ditemui di dalam dewan bersalin. Ia tidak membahayakan bayi sehingga terbukti bahaya melalui pemantauan Cardiotocography (CTG) semasa kelahiran.
“Tali pusat dan bayi membesar dan hidup bersama di dalam rahim ibu. Oleh itu, tali pusatnya boleh sahaja membelit badan, leher atau kaki bayi semasa bayi berenang-renang dan bermain-main. Selagi tali pusat masih berada di kedudukannya dan tidak terputus, selagi itulah bayi akan menerima bekalan darah dari ibunya tanpa sebarang masalah.
“Walaupun doktor memberitahu bayi terbelit tali pusat, ia tidak bermakna ibu perlu menjalani pembedahan c-section semasa kelahiran.
“Walau bagaimanapun, ketika proses kelahiran bayi akan turun ke bahagian tulang pelvik. Jika tali pusatnya terbelit dengan lilitan yang banyak berkemungkinan tali pusatnya akan menjadi pendek dan menghalang bayi untuk turun ke bawah.
“Keadaan ini akan mencekik leher bayi dan ia akan dikesan oleh CTG melalui pengesanan degupan jantung.
“Jika keadaan pada waktu itu membahayakan bayi, doktor akan mencadangkan pembedahan segera dijalankan. Bagaimanapun, ada sesetangah bayi mampu hadapi keadaan ini dan boleh dilahirkan secara normal. Itulah pentingnya graf pemantauan melalui bacaan CTG.
“Apa yang penting, ibu perlu perhatikan gerak anak di dalam kandungan. Jika bayi kurang gerak dalam tempoh 12 jam, ibu harus segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. — al-Siha
Kenapa anti-bodi wanita hamil lemah?
Tidak semua masalah bayi terbelit tali pusat perlu jalani pembedahan c-section.
Apabila seseorang wanita disahkan hamil, secara semula jadinya sistem imuniti mereka akan menurun.
Mereka lebih mudah dijangkiti pelbagai penyakit seperti demam, selsema, batuk dan sebagainya. Jika tidak dirawat dengan betul, ia boleh memberi kesan buruk kepada ibu dan bayi. Persoalannya, mengapa sistem imuniti wanita hamil rendah?
Jelas Dr. Izzat, sistem imuniti wanita hamil menjadi rendah disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku di dalam badan sebagai persediaan tubuh menerima kehadiran bayi yang dianggap sebagai bendasing.
“Jika sekiranya tubuh seseorang wanita hamil berada dalam keadaan normal, ia berisiko menolak keluar janin dari badan. Maka, proses pembinaan manusia tidak akan berlaku sama sekali. — al-Siha
Jelly Wharton selamatkan bayi
Satu daripada tiga bayi dilahirkan mengalami masalah tali pusat terbelit. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripadanya adalah selamat. Ini kerana, tali pusat dilindungi oleh jeli yang dikenali sebagai jeli Wharton. Ia berfungsi untuk melindungi saluran darah dalam tali pusat, membantu melindungi mampatan dan simpulan yang ketat. Meskipun tali pusat terbelit, darah, oksigen dan nutrisi tetap boleh dihantar kepada bayi dengan baik selagi mana jeli tersebut masih mencukupi untuk melindunginya dari terikat kemas.
Satu daripada tiga bayi dilahirkan mengalami masalah tali pusat terbelit. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripadanya adalah selamat. Ini kerana, tali pusat dilindungi oleh jeli yang dikenali sebagai jeli Wharton. Ia berfungsi untuk melindungi saluran darah dalam tali pusat, membantu melindungi mampatan dan simpulan yang ketat. Meskipun tali pusat terbelit, darah, oksigen dan nutrisi tetap boleh dihantar kepada bayi dengan baik selagi mana jeli tersebut masih mencukupi untuk melindunginya dari terikat kemas.
Punca tali pusat terbelit
▶ Tali pusat panjang: Panjang tali pusat adalah di antara 50 hingga 60 sentimeter. Ini bermakna, semakin panjang tali pusat semakin tinggi risiko untuk terbelit.
▶ Hamil kembar: Pergerakan yang berganda juga merisikokan bayi terbelit tali pusatnyan sendiri.
▶ Jelly Wharton tidak mencukupi: Jelly Wharton berfungsi sebagai pelincir. Jika tali pusat terbelit, Jelly Wharton akan menghalang ia terikat lebih ketat. Bagaimanapun, jika ia tidak mencukupi, tali pusat terbelit boleh terjadi.
▶ Air ketuban berlebihan: Air ketuban yang banyak menyebabkan bayi dapat bergerak lebih aktif. Keadaan ini berkemungkinan boleh menyebabkan bayi terbelit tali pusat.
▶ Bayi terlalu aktif: Bayi yang aktif adalah bayi yang sihat. Namun, jika terlalu aktif risiko ini boleh terjadi boleh terjadi.
Tips jaga kebersihan sepanjang kehamilan:
• Elakkan pengambilan daging atau susu yang tidak diproses.
• Cuci tangan selepas bermain bersama anak, mengendalikan sayur, daging serta membuang air.
• Pastikan hanya mengambil daging yang dimasak sempurna.
• Dapatkan periksakan kesihatan bagi mengesan penyakit-penyakit yang disebarkan melalui hubungan seksual seperti syphilis, listeriosis, hepatitis, HIV, dan streptococcus B. Penyakit-penyakit ini berbahaya kepada ibu dan bayi.
• Jika memiliki haiwan peliharaan, elakkan mencuci sangkar serta najisnya.
• Penuhi temujanji bersama doktor perubatan mengikut jadual sepanjang kehamilan.