7 juta penghidap diabetes menjelang 2050
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan 3.5 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes, kadar tertinggi di Asia, dan statistik ini dijangka meningkat kepada tujuh juta penghidap menjelang 2025.
Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, dengan peningkatan bilangan penghidap diabetes, usaha pencegahan perlu diperkasakan.
“Kami terus berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pesakit dan masyarakat, kami percaya institusi keluarga juga memainkan peranan penting, dalam membantu pesakit menguruskan penyakit, sekaligus mendidik ahli keluarga tentang diabetes,” katanya dalam ucapan pada pelancaran projek ‘Sama-Sama’, kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Novo Nordisk sempena Hari Diabetes Sedunia 2019.
“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Novo Nordisk dalam projek ‘Sama-Sama’ yang memberi tumpuan memperkasakan ahli keluarga penghidap diabetes untuk mewujudkan persekitaran sokongan yang lebih baik bagi pesakit dan juga keluarga secara keseluruhannya,” ujarnya.
Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menerusi kempen Hari Diabetes Sedunia 2019 bertema Keluarga dan Diabetes, berusaha meningkatkan kesedaran tentang kesan diabetes terhadap keluarga dan menekankan peranan keluarga dalam pengurusan, penjagaan, pencegahan dan pendidikan diabetes.
Sejajar dengan hasrat IDF dan sempena Hari Diabetes Sedunia 2019, Novo Nordisk dan Kementerian Kesihatan Malaysia bergabung tenaga menjayakan projek ‘Sama-Sama’ untuk memperkasakan dan mengupayakan penjaga pesakit keluarga dalam pengurusan dan pencegahan diabetes.
Projek perintis tersebut akan dilancarkan tahun ini, membabitkan pesakit dan ahli keluarga mereka yang tinggal di Putrajaya. Para peserta akan dipilih daripada empat klinik kesihatan yang terletak dalam Putrajaya.
Duta Denmark ke Malaysia, TYT Jesper Vahr berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama ini atas kejayaan pelancaran projek ‘Sama-Sama’.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Operasi Antarabangsa, Maziar Mike Doustdar berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menangani diabetes dan penyakit yang dihidapi serentak.
“Menerusi kempen Hari Diabetes Sedunia, kami sedar beban diabetes yang semakin meningkat dan kesannya bukan sahaja ke atas pesakit, tetapi juga ahli keluarga mereka. Justeru, menerusi projek ‘Sama-Sama’, kami berharap untuk memperkasakan ahli keluarga dengan ilmu, kemahiran dan sokongan untuk membantu meningkatkan pengurusan diabetes, menambah kesedaran tentang diabetes, dan juga meningkatkan kualiti kehidupan keseluruhan dalam kalangan ahli keluarga,” jelasnya. — al-Siha
Pekerja Malaysia alami tekanan melampau
Sebanyak 51 peratus pekerja di Malaysia mengalami tekanan berkaitan kerja dan 53 peratus kurang tidur selama tujuh jam dalam tempoh 24 jam.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng berkata, perolehan ini hasil tinjauan Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia yang dijalankan oleh AIA Vitality 2019 dengan rekod penyertaan daripada 230 buah organisasi yang berbeza saiz dan daripada pelbagai sektor di seluruh Malaysia yang mewakili gabungan tenaga kerja seramai 17,595 orang.
“Sebagai penyedia insurans hayat dan kesihatan, kajian seumpama ini adalah antara sumbangan dan usaha pihaknya untuk terus mewujudkan kesedaran tentang manfaat yang diperoleh melalui tenaga kerja yang sihat,”katanya.
“Kajian menunjukkan, sebanyak 84 peratus pekerja melaporkan satu atau lebih masalah muskuloskeletal manakala lebih daripada separuh responden menyatakan bahawa mereka tidur kurang dari tujuh jam setiap hari dengan 14 peratus corak tidur sangat tidak baik.”
Sementara itu, seramai 17 peratus pekerja melaporkan bahawa mereka berasa penat dan letih setiap hari, namun 20 peratus daripada mereka tidak boleh menentukan bila masanya untuk berehat.
Jelasnya, majikan perlu sedar bahawa tenaga kerja yang ceria dan rehat secukupnya lebih produktif, selain perlu menggalakkan intervensi yang bukan sahaja tertumpu kepada kesihatan fizikal dan pemakanan yang sihat, tetapi juga kesejahteraan mental.
“Adalah menjadi harapan kami untuk tinjauan Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia oleh AIA Vitality terus memacu tindakan yang lebih positif untuk manfaat tenaga kerja rakyat Malaysia,” tambah Ben dalam ucaptama sempena Sidang Kemuncak Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia 2019 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. —
al-SihaFoTo: BERNAMA
