KEMENTERIANKesihatan Malaysia telah berkolaborasi dengan beberapa kementerian serta jabatan kerajaan dan bukan kerajaan untuk mengorak langkah membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan 2018-2023.Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pelan Tindakan ini merupakan satu rangka kerja kesihatan bagi memastikan kesetaraan jantina dalam perkhidmatan kesihatan yang lebih berstruktur ke arah meningkatkan kualiti kehidupan lelaki di Malaysia.
“Strategi yang digariskan di dalam Pelan Tindakan ini bukan sahaja dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh masa jangka pendek malah untuk tempoh masa panjang,” katanya.
Tambah beliau, bagi tempoh jangka masa pendek, program dan perkhidmatan di peringkat Kementerian Kesihatan akan dikemaskini, diperkukuhkan dan disusun atur agar turut mengambil kira kesan perlaksanaan polisi ini terhadap kaum lelaki dan wanita.
“Penekanan akan diberikan ke atas pengumpulan dan analisa data secarasex disaggregated. Melalui kaedah ini, perbezaan jurang yang wujud antara kesihatan lelaki dan wanita akan kelihatan lebih jelas bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan,” katanya, di sini.
Jelasnya, strategi bagi tempoh jangka panjang akan melibatkan penambahan sumber seperti sumber manusia, peruntukan yang mencukupi dalam meningkatkan saringan kesihatan dan intervensi bagi faktor risiko yang dikenalpasti, keperluan sistem teknologi yang bersifatclient friendlydalam meningkatkan kemudahcapaian dan pemantauan pesakit dan sebagainya.

Bagi peringkat awal ini, perkhidmatan kesihatan lelaki akan berpaksikan kesihatan seksual dan reproduktif lelaki sepertimana konsep pemantapan program kesihatan wanita di Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Fokus akan diberikan kepada pembangunan dan pengenalpastian masalah kesihatan seksual dan reproduktif di mana secara tidak langsung akan mempunyai kaitan dengan kawalan penyakit tidak berjangkit yang lain sepertihipertensi,diabetes mellitusdanhiperkolesterolemia.
“Adalah menjadi harapan saya agar promosi dan pengurusan kesihatan lelaki akan dijalankan dengan lebih proaktif dan berkesan di peringkat komuniti.
Secara idealnya, perkhidmatan kesihatan yang sedia ada ditambahbaik dengan ciri-ciri klinik mesra lelaki bagi menggalakkan dan memudahkan rundingcara kaum lelaki.
“Kaum lelaki mungkin berasa sukar untuk meluahkan masalah kesihatan yang dihadapi jika tidak yakin dengan kakitangan kesihatan yang kurang peka dengan masalah kesihatan yang dialami. Berikutan dengan ini, setiap lapisan kakitangan kesihatan perlu dilatih bagi memastikan mereka menggarap Pelan Tindakan Kesihatan Lelaki dan bersedia serta berupaya untuk menambahbaik perkhidmatan sedia ada kepada perkhidmatan yang lebih mesra lelaki,” beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan 2018-2023 di Putrajaya baru-baru ini.— al-Siha