Tambah baik perkhidmatan berdasarkan peningkatan kadar kelahiran bayi pramatang setiap tahun
Hospital Shah Alam menaik taraf wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) berikutan kadar kelahiran bayi pramatang menunjukkan peningkatan setiap tahun.
Menurut Pengarah hospital, Dr Ruzita Othman, sebanyak RM82,850 telah dibelanjakan untuk kerja-kerja menaik taraf bermula September 2018.
“Selain penambahan terminal gas, terdapat penambahan pada panel kepala katil dan juga room-in untuk keperluan para ibu yang ingin menemani bayi pramatang yang sedang di rawat,” katanya.
Jelas beliau, sejak 2016, sebanyak 493 bayi pramatang telah dilahirkan dan meningkat kepada 567 kelahiran pada 2017, dan angka ini terus meningkat pada 2018 dengan 807 kelahiran dan Ogos lepas, sebanyak 452 kelahiran bayi pramatang direkodkan.
Katanya, bilangan bayi yang dimasukkan ke NICU juga turut bertambah.
“Pada tahun 2016, wad NICU telah beroperasi dengan kekuatan tiga orang Pakar Perubatan Pediatrik, enam pegawai perubatan dan 29 anggota paramedik. Kini anggota telah dipertingkat kepada 8 orang Pakar Perubatan Pediatrik, 24 orang pegawai perubatan dan 65 anggota paramedik,” katanya semasa berucap pada Majlis Graduasi Bayi Pramatang hospital berkenaan.
Majlis graduasi yang julung kali dianjurkan itu diserikan dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.
Dr Lee Boon Chye berkata, kira-kira lapan peratus bayi lahir pramatang setiap tahun di Malaysia, dan kelahiran pramatang ini antara satu penyebab utama kepada kematian bayi di seluruh dunia.
“Kami di Kementerian Kesihatan Malaysia amat peka dengan perkembangan kelahiran bayi pramatang dan sentiasa cuba memberikan pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kelahiran bayi pramatang,” katanya. — al-Siha
Tengku Permaisuri Norashikin (duduk, dua dari kanan) bersama bayi pramatang selepas merasmikan Majlis Graduasi Bayi Pramatang di Hospital Shah Alam, baru-baru ini. Turut hadir , Dr Lee Boon Chye (berdiri, dua dari kiri).
Kekal aktif dan terhidrat
Aktifkan Malaysiaku anjuran 100PLUS telah diadakan baru-baru ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengarah Pemasaran (Malaysia) F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd, Graham Lim berkata program ini diadakan bertujuan mengajak orang ramai untuk menjalani gaya hidup yang aktif.
“Melalui Aktifkan Malaysiaku, kami berharap agar rakyat Malaysia mampu mengimbangi aktiviti yang aktif demi kesihatan mereka, dan memahami makna sebenar kehidupan yang seimbang dan gaya hidup yang aktif,” katanya.
“Aktifkan Malaysiaku telah menjelajah di tiga buah negeri di seluruh Malaysia bermula di Kota Kinabalu, Kuala Terengganu dan berakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.”
Lebih menarik, setiap peserta Aktifkan Malaysiaku menerima baju-T eksklusif yang diperbuat sepenuhnya daripada botol plastik yang dikitar semula.
“Ini adalah permulaan untuk inisiatif dan inovasi alam sekitar yang lebih hebat di masa hadapan dan pada masa yang sama juga 100PLUS memastikan warga Malaysia kekal aktif dan terhidrat.”
“Inovasi ini diharap dapat memberi impak positif terhadap alam sekitar,” ujarnya.
Jelasnya, 100PLUS Aktifkan Malaysiaku kali ini menerima lebih dari 10,000 penyertaan dan lebih istimewa kerana turut melibatkan barisan duta 100PLUS seperti ikon sukan negara Datuk Wira Lee Chong Wei, dan selebriti seperti Hairul Azreen, Mira Filzah dan Syafiq Kyle. — al-Siha