Apabila bilangan sel neutrofil terlalu rendah dan tidak
mencukupi untuk melindungi tubuh daripada jangkitan
kuman ia boleh menyebabkan sepsis lalu membawa maut
DARAH manusia mengandungi pelbagai jenis sel termasuk sel darah merah, sel darah putih dan sel platlet. Sel darah putih pula terdiri daripada pelbagai jenis sel yang membantu dalam sistem pertahanan badan iaitu neutrophil, limfosit, monosit, eosinophil dan basophil.
Neutrofil merupakan sel darah putih yang terbanyak di antara semua sel darah putih merangkumi 60 peratus hingga 70 peratus jumlah keseluruhan sel darah putih. Ia dihasilkan di dalam sum-sum tulang di mana ia tidak aktif dan bergerak dengan aktif di dalam saluran darah sebagai tindakbalas kepada apa-apa kecederaan atau jangkitan kuman di dalam badan dan mengambil masa lebih kurang enam hari untuk bergerak dari sum-sum tulang ke saluran darah dan hidup selama lapan jam ke lima hari di dalam saluran darah.
Neutrofil menjalankan tugas dengan membunuh kuman-kuman menggunakan teknik fagositosis di mana neutrofil akan menelan sel-sel atau kuman yang dianggap asing di dalam badan. Ia juga dapat bertindak secara kimia dengan melepaskan bahan kimia yang toksik kepada kuman-kuman tersebut serta merangsang sel-sel darah putih yang lain untuk turut membantu.
KEMOTERAPI ATAU RADIOTERAPI
Bagi pesakit yang mengidap kanser, kebiasaannya doktor akan menjalankan rawatan dengan menggunakan kemoterapi atau rawatan radioterapi bergantung kepada jenis kanser yang dihidapi pesakit, tetapi berbeza bagi setiap pesakit.
Rawatan kemoterapi direka untuk membunuh sel kanser dengan merosakkan DNA sel kanser sehingga ia tidak dapat dibaiki lagi. Mekanisma di mana kemoterapi ini bertindak berbeza mengikut jenis kemoterapi. Sel-sel badan pesakit yang normal yang tumbuh atau membahagi dengan cepat seperti folikel rambut, tisu mukosa yang menyelaputi sistem pencernaan dan sum-sum tulang akan turut terkena kesan sampingan akibat tindakan kemoterapi tersebut.
Sebab itulah kita boleh lihat dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan kanser, rambutnya akan keguguran, akan terjadi radang tisu mukosa dan sum-sum tulang akan terbantut daripada menghasilkan sel-sel darah. Sum-sum tulang akan kekurangan sel darah putih terutamanya sel neutrofil (neutropenia), kekurangan sel darah merah (anemia) dan kekurangan sel platlet (trombositopenia).
Bagi kebanyakan jenis kemoterapi, sel neutrofil akan mula menurun bilangannya lebih kurang 5-7 hari daripada permulaan kemoterapi dan akan mengambil masa lebih kurang 2-4 minggu untuk kembali ke jumlah asal. Masa ini mungkin berbeza mengikut jenis kemoterapi yang digunakan.
Apabila sel neutrofil terlalu rendah, bilangan neutrofil tidak mencukupi untuk melindungi badan daripada jangkitan kuman dan ia boleh menyebabkan sepsis yang teruk dan boleh membawa maut. Ini dikenali sebagai sepsis neutropenik. Apabila sepsis neutropenik berlaku, sistem pertahanan badan kita bukan sahaja cuba mematikan kuman di dalam badan kita, ia juga secara tidak langsung boleh memberi kesan sampingan ke atas tisu dan organ kita sendiri.
PENYEBAB KEMATIAN
Kadangkala, keadaan pesakit akan merosot secara mendadak walaupun punca jangkitan masih belum dikenalpasti. Jika tidak dirawat, kes kematian yang disebabkan oleh sepsis neutropenik di laporkan berada di dalam lingkungan dua hingga 21 peratus. Sepsis neutropenik di dapati cenderung berlaku apabila pesakit menerima rawatan kemoterapi kitaran pertama atau kedua.
Risiko-risiko lain termasuklah, pesakit yang berumur, pesakit yang memerlukan bantuan orang lain dalam menjalankan aktiviti harian, tahap nutrisi pesakit yang kurang baik, pesakit yang mempunyai kanser darah dan kekuatan kemoterapi yang diterima.
Sepsis neutropenik adalah sejenis sepsis yang di kategorikan sebagai satu kecemasan dan memerlukan penyiasatan dan rawatan rapi di hospital. Memandangkan kadar kematian bagi pesakit yang di diagnos neutropenik sepsis ini tinggi, mana-mana pesakit yang menerima kemoterapi dan didapati paras neutrofil menurun sehingga kurang dari 0.5 x109/L dan turut demam lebih dari 38°C walaupun untuk satu bacaan, doktor akan segera memulakan rawatan antibiotik.
Jadi adalah sangat penting bagi pesakit dan keluarga terdekat mengenalpasti jika pesakit sudah mula tidak sihat dan demam supaya dapat membawa pesakit segera ke hospital tanpa menunggu munculnya simptom-simptom sepsis yang lain.— al-Siha
OLEH
PROF MADYA DR TAN TOH LEONG Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan PPUKM dan Presiden dan Pengasas Persatuan Sepsis Malaysia (MYSEPSIS)

DAN
DR AZLIN ITHNIN PENSYARAH KANAN DAN PAKAR PERUNDING HEMATOLOGIST, PPUKM DAN NAIB PRESIDEN PERSATUAN SEPSIS MALAYSIA
