OLEH MOHD SHAH CHE AHMAD
BERMULA sekadar suka-suka dan dari ajakan rakan, siapa sangka permulaan itu membawa Mohd Azraie Md Yusof, 36, melangkah jauh dalam sukan berbasikal. Meskipun tidak pernah terlibat dalam mana-mana kejohanan di peringkat nasional atau antarabangsa, namun hobi itu membawa bapa kepada dua cahaya mata itu sehingga berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,400 kilometer pada tahun 2014.
Malah, anak kelahiran Pulau Pinang itu juga sering mengikuti program Kembara Berbasikal dan Jamboree Berbasikal seluruh negara. Bagi dia, berbasikal adalah sukan unik yang memberikan pelbagai kelebihan kepada pemain, bukan sahaja daripada aspek kesihatan fizikal, malah mental.
“Berbasikal, merupakan riadah santai yang menyeronokkan. Permulaannya, saya melakukan aktiviti ini lebih kepada ingin menikmati keindahan alam kerana saya gemar mengikuti Kembara Berbasikal,”katanya.
“Namun, setelah lama menceburi sukan ini ia memberikan nilai tambah iaitu kesihatan kepada saya terutama meningkatkan daya tahan kardiovaskular (stamina), menstabilkan jantung dan menghilangkan tekanan,” katanya.
Tambah beliau, teknik terpenting ketika berbasikal adalah mengawal pernafasan bagi membolehkan penunggang basikal mengekalkan stamina terutama ketika mengayuh pada jarak jauh.
“Pernafasan boleh terjejas jika kita kurang bersenam, justeru kawalan pernafasan ketika berbasikal secara tidak langsung menguatkan otot pernafasan yang membawa pengudaraan lebih baik kepada paru-paru.
“Manakala pergerakan santai sambil menikmati keindahan alam ketika berbasikal juga secara tidak langsung mampu menstabilkan emosi seperti tekanan dan kemurungan.
“Begitu juga dengan jantung, berbasikal sangat sesuai bagi latihan jantung menjadi lebih kuat yang mengakibatkan tekanan sakit jantung,” jelasnya yang mengakui merasa lebih cergas selepas berbasikal.
Di Malaysia, hanya 100 ribu rakyat mengayuh dua kilometer saja. Mohd Azraie mengakui berbasikal menjadikannya lebih cergas. Mengembara berbasikal bersama dapat mengeratkan hubungan Mohd Azraie dengan anaknya, Ayyar Sufi Mohd Azraie. Mohd Azraie ketika melakukan kayuhan mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,400 kilometer pada 2014.
SEMUA PERINGKAT USIA
Berkongsi minat berbasikal bersama anaknya pada waktu lapang, Mohd Azraie berkata, selain menyihatkan tubuh badan, berbasikal dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan jika dilakukan bersama.
“Biasanya saya melakukan aktiviti ini pada hujung minggu bersama anak-anak dan isteri. Berbasikal amat sesuai untuk semua peringkat usia bermula daripada kanak-kanak sehingga warga emas.
“Malah, berbasikal juga dapat mengurangkan kecederaan pada otot kaki dan lutut berbanding berjoging yang menggunakan sepenuhnya bahagian itu sepanjang melakukan aktiviti,” katanya.
Justeru beliau berkata, berbasikal adalah senaman terbaik bagi semua termasuk penghidap penyakit kronik jika dilakukan dengan teknik yang betul.
“Berbasikal dapat meningkatkan sistem imuninasi tubuh yang bertindak melindungi dan melawan badan daripada jangkitan penyakit, di samping mencegah penyakit,” ujarnya. — al-Siha