Peratusan lelaki jalankan pemeriksaan kesihatan hanya 34.9 peratus berbanding wanita 40.7 peratus
LELAKI didapati mempunyai tahap kesihatan yang lebih rendah berbanding wanita dan terdedah kepada pelbagai risiko penyakit.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, di Malaysia, jangka hayat lelaki adalah lima hingga enam tahun lebih pendek berbanding wanita, di mana seorang bayi lelaki yang dilahirkan pada tahun 2018 boleh hidup sehingga usia 72.7 tahun berbanding bayi perempuan yang boleh hidup sehingga 77.6 tahun.
“Walaupun golongan lelaki diberikan pendedahan dan peluang yang sama seperti wanita dari segi penjagaan kesihatan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan atau nasihat, analisis menunjukkan bahawa golongan lelaki menghadapi halangan tertentu dari segi persepsi, tingkah laku dan kepercayaan terhadap keperluan kesihatan mereka dan memerlukan perhatian yang lebih fokus,” katanya.
Tambah beliau, ciri-ciri lelaki seperti tegas, pengambilan risiko, rasa kebal dan ketahanan kepada kesakitan mungkin menjadi penyumbang kepada peningkatan pelbagai risiko kesihatan seperti merokok dan penyakit seperti hipertensi, dan diabetes.
“Faktor-faktor ini turut mempengaruhi kadar kedatangan saringan kesihatan dalam kalangan lelaki.
Sementara itu, berdasarkan rekod di fasiliti kesihatan primer, kedatangan golongan lelaki juga adalah rendah iaitu hanya 4.7 peratus lelaki menjalankan saringan kesihatan pada tahun 2018 berbanding 5.5 peratus wanita.
Sementara itu, kajian di beberapa negara turut melaporkan bahawa wanita lebih kerap menggunakan perkhidmatan kesihatan berbanding lelaki terutamanya mereka yang berada di peringkat umur reproduktif.
“Sudah tiba masanya untuk kita melihat keperluan penjagaan kesihatan secara holistik bagi mempertingkatkan kualiti kesihatan mereka agar kaum lelaki juga merasai pentingnya penjagaan kesihatan.— al-Siha
PERBEZAAN JANGKA HAYAT LELAKI DAN PEREMPUAN:
• Jangka hayat penduduk malaysia meningkat kepada 75.0 tahun pada tahun 2018 berbanding 74.4 tahun pada tahun 2012 (peningkatan 0.6 tahun)
• Pada tahun 2018, bayi lelaki yang baru lahir boleh hidup sehingga usia 72.7 tahun, manakala bayi perempuan pula 77.6 tahun (Perbezaan 4.9 tahun)
• Pada usia 65 tahun, seorang lelaki dijangka akan hidup lagi selama 15.0 tahun, manakala wanita dijangka hidup selama 17.2 tahun lagi.
KADAR KEMATIAN PRAMATANG (BAWAH 70 TAHUN), MENGIKUT JANTINA- PER 1000 POPULASI
LELAKI
2015 – 3.7
2016 – 3.6
PEREMPUAN
2015 – 2.1
2016 – 2.2
ANTARA PENYUMBANG KEMATIAN PRAMATANG BAGI BAYI LELAKI
• Penyakit kronik yang berkaitan dengan kardiovaskular seperti sakit jantung dan angin ahmar (strok)
• Kemalangan jalan raya, penyakit berkaitan dengan paru-paru seperti bronchitis, penumonia dan asthma
• Penyakit kanser