Statistik terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa 300 juta orang di seluruh dunia tidak menyedari bahawa mereka menghidap hepatitis yang telah menyebabkan 1.34 juta kematian dan punca utama kanser hati.
Hepatitis merujuk kepada keradangan hati, yang biasanya berpunca dari jangkitan virus. Terdapat lima jenis hepatitis iaitu hepatitis jenis A,B,C,D, dan E.
Walau bagaimanapun, simptom kesemua jenis hepatitis ini berbeza dengan keadaan selsema biasa kerana selsema yang dialami oleh pesakit hepatitis ini biasanya diikuti demam, loya, berpeluh, hilang selera makan, dan juga keradangan hati. Jika diperhatikan perbezaan bagi simptom Viral Hepatitis ini muncul selepas tiga bulan jangkitan awal, malah ada sesetengah individu tidak mengalami sebarang simptom.
SITUASI DI MALAYSIA
Terdapat tiga jenis hepatitis yang biasa dialami oleh rakyat Malaysia iaitu viral hepatitis jenis A,B dan juga C. Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa lima peratus rakyat Malaysia menghidap hepatitis B, manakala dua peratus pula menghidap hepatitis C. Secara purata, lebih dari 80 peratus orang menghidap hepatitis B dan C pada usia antara 25 tahun hingga 55 tahun.
Hepatitis B boleh membawa kepada komplikasi yang serius sekiranya pesakit tidak dirawat pada peringkat awal.
Menurut Ketua Unit Hepatologi dan Gastroenterologi yang juga Timbalan Pengarah Pusat Perkhidmatan Endoskopi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM UKM), Dr. Wong Zhiqin, keadaan ini benar-benar membimbangkan terutama sekali dikalangan mereka yang lebih tua.
“Di peringkat global, WHO membahagikan kadar insiden bagi penyakit virus hepatitis B kepada tiga kategori iaitu rendah, sederhana dan tinggi seroprevalence. Malaysia berada di peringkat sederhana, diantara 1.5 peratus hingga 9.8 peratus seroprevalence. Manakala 75 peratus kes viral hepatitis di Malaysia disebabkan oleh hepatitis B, dan hepatitis B kronik dengan catatan lebih 80 peratus hepatocellular carcinoma (HCC) atau kanser hati primer (primary liver cancer) di negara ini,” jelas beliau.
Berdasarkan statistik yang diterangkan oleh Dr. Wong, jelaslah kepada kita bahawa rakyat Malaysia perlu lebih sedar, ambil tahu dan ambil berat mengenai hepatitis B ini kerana virus Hepatitis B ini turut meningkatkan risiko kanser hati. — al-Siha
PENGHANTARAN VIRAL HEPATITIS B
BERJANGKITTIDAK BERJANGKIT
Darah, air mani, atau cecair dari badan seseorang yang
dijangkiti virus hepatitis ke badan individu yang lain
Berkongsi perkakas makanan
Melakukan hubungan kelamin dengan seseorang yang telah dijangkiti
Menyusu badan
Berkongsi jarum (Dadah, tatu, akupuntur, bertindik)
Peluk, cium, berpegangan tangan
Berkongsi pisau cukur atau berus gigi Batuk atau bersin
Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti

Sejarah vaksin hepatitis di Malaysia
Vaksin untuk hepatitis B telah diperkenalkan olehmProgram Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 1989. Sehingga kini, ia berjaya mengurangkanekadar seroprevalence kepada 0.3 peratus WHs mensasarkan satu peratus.
“Data pada tahun 2013 menunjukkan sebanyak 96.3 peratus rakyat Malaysia tidak mendapat jangkitan virus hepatitis B berikutan pengambilan suntikan vaksin tersebut,”jelas Dr Wong.
Walau bagaimanapun, ini tidak membawa maksud bahawa rakyat Malaysia selamat sepenuhnya, kerana vaksin itu mula diperkenalkan pada tahun 1989, dan bagi bayi yang dilahirkan sebelum itu tidak dapat melawan virus tersebut.
“Bayi yang dilahirkan sebelum tahun 1989, mungkin telah berusia 30 an sekarang, dan mereka antara individu yang berisiko,” katanya.
Hari Hepatitis Sedunia yang di sambut Julai ini turut mengetengahkan tema “Finding the missing millions” atau Mencari Jutaan Yang Hilang bertujuan menggalakkan mereka yang tidak mengambil vaksin hepatitis B untuk melakukan saringan dan meningkatkan kesedaran,” tambah Dr. Wong.
HEPATITIS C SEMAKIN MENINGKAT
Selain hepatitis B, kes melibatkan hepatitis C dilaporkan turut meningkat dan membimbangkan.
“Dianggarkan 500,000 orang didapati menghidap hepatitis C pada tahun 2019 dan 59 peratus daripada mereka memperoleh virus melalui suntikan,” jelas Dr. Wong. Secara kumulatif, virus hepatitis C ini dijangka menyebabkan 63,900 kematian menjelang tahun 2039.
KEPERLUAN SARINGAN DAN SUNTIKAN VAKSIN
Strategi penghapusan secara global viral hepatitis ini telah diterima pakai oleh Malaysia sejak tahun 2016, dan rawatan untuk kedua-dua jenis hepatitis sama ada hepatitis B dan C juga tersedia di seluruh Negara. Matlamat untuk menghapuskan virus hepatitis ini juga telah termasuk dalam program pembangunan Negara.
Bagaimanakah cara untuk kita menghapuskan viral hepatitis ini?
Menurut Dr. Wong orang ramai perlu lebih sedar dan peka serta mengambil langkah pencegahan awal. Sebagai tanda sokongan kepada kempen hepatitis sedunia, Dr Wong menyeru orang ramai untuk tampil menjayakan langkah pencegahan hepatitis, dengan menjalankan ujian saringan dan mendapatkan perkhidmatan rawatan sepatutnya.
“Bagi mereka yang dilahirkan sebelum vaksin hepatitis B ini diperkenalkan, mereka tidak sepatutnya melengahkan masa lagi dan segera menjalankan ujian saringan. Pengesanan awal untuk kedua-dua jenis hepatitis B dan hepatitis C ini akan memudahkan rawatan dan pengurusan penyakit. Manakala bagi mereka yang telah melakukan ujian saringan, dan mendapati bahawa mereka bebas hepatitis B pula hendaklah mengambil inisiatif untuk mendapatkan vaksin,” tegas Dr. Wong.