Tiada ujian klinikal yang membuktikan bekam mampu memulihkan kanak-kanak alami masalah lewat pertuturan
LAPORAN eksklusif al-Siha edisi Oktober lalu telah mendedahkan insiden dimana seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dibekam di bahagian kepala menggunakan cawan bersaiz dewasa, kononnya dapat membantu mengatasi masalah lewat pertuturan (speech delayed).
Pendedahan itu bukan sahaja mendapat perhatian serius daripada pihak taman asuhan dimana kanak-kanak tersebut di hantar, malah turut mendapat perhatian Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK).
“Berdasarkan carian kajian (literature search) yang dijalankan, kami tidak menemui sebarang kajian klinikal berkaitan keselamatan atau keberkesanan rawatan bekam di bahagian kepala untuk kanak-kanak yang mengalami masalah kelewatan pertuturan,” jelas BPTK menerusi satu maklum balas yang di hantar kepada al-Siha.
BPTK juga berpendapat bahawa tiada indikasi rawatan bekam bagi masalah kelewatan pertuturan dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, sekiranya ibu bapa atau penjaga ingin mendapatkan rawatan sedemikian, ia adalah di atas risiko sendiri.
Jelas BPTK, sebaik-baiknya, nasihat daripada pakar pediatrik perlu diperoleh dalam kes kelewatan pertuturan di kalangan kanak-kanak untuk mengenalpasti punca dan mendapatkan rawatan sewajarnya.
Ditanya sama ada pihak KKM akan mengambil tindakan ke atas kes-kes seumpama ini jelasnya, KKM akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat aduan berkaitan kes-kes seumpama ini.
KES MELIBATKAN BEKAM
Menurut Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K), sejak 2015, terdapat 16 kes aduan berkenaan rawatan bekam yang telah direkodkan oleh Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) dan majoriti kes aduan tersebut adalah berkaitan dengan penawaran perkhidmatan yang tidak selamat, iklan perkhidmatan yang melanggar Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1957 serta keraguan terhadap kelayakan pengamal yang menawarkan perkhidmatan bekam.
Berdasarkan rekod aduan tersebut, terdapat satu kes kecederaan (kulit melecur selepas rawatan bekam), satu kes jangkitan kulit selepas rawatan bekam dan tiada rekod mengenai kematian yang berpunca daripada bekam.
BEKAM DI MALAYSIA
Terdapat tujuh bidang amalan PT&K yang diiktiraf di bawah Akta PT&K 2016 (Akta 775) iaitu Perubatan Tradisional Melayu, Perubatan Tradisional Cina, Perubatan Tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.
Amalan bekam merupakan sebahagian daripada amalan perubatan tradisional Melayu dan Cina yang boleh diamalkan oleh pengamal PTM dan PTC yang berkelayakan dan berpengalaman serta mematuhi langkah-langkah keselamatan (safety precautions) seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Amalan Bekam (2011) yang diterbitkan oleh BPTK.
Mana-mana individu yang ingin mengamal dalam bidang amalan PT&K yang diiktiraf harus berdaftar dengan Majlis PT&K selaras dengan implementasi fasa kedua Akta 775 kelak. Pendaftaran fasiliti PT&K buat masa ini adalah di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan dan tertakluk kepada perundangan berkaitan.
Di Malaysia, perkhidmatan bekam hanya ditawarkan oleh pengamal PT&K swasta. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pengamal berkenaan untuk mendapatkan perlindungan insurans atau indemniti yang sewajarnya.
Serbuan dan pemantauan ke atas pusat rawatan bekam belum dilaksanakan buat masa ini kerana Akta 775 belum dikuatkuasakan sepenuhnya. Sebaliknya, BPTK melaksanakan lawatan pendidikan ke fasiliti PT&K termasuk yang memberi rawatan bekam serta memberi taklimat Akta 775 kepada pengamal PT&K dari semasa ke semasa untuk berkongsi maklumat berkaitan undang-undang yang akan dikuatkuasakan dan tanggungjawab pengamal PT&K untuk mematuhinya.
GARIS PANDUAN DAN AKTA
Untuk makluman, BPTK telah membangunkan Garis Panduan Amalan Bekam (2011) yang boleh digunakan sebagai rujukan oleh pengamal PT&K serta orang awam. Garis panduan yang berfokus kepada pengendalian pesakit dan sisa klinikal yang betul dan selamat tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan pesakit dan pengamal PT&K.
Sehubungan itu, satu Panduan Pengguna bagi Penggunaan Perkhidmatan PT&K yang Betul di Malaysia telah diterbitkan baru-baru ini dengan objektif untuk memperkasa individu dengan maklumat yang tepat supaya dapat membuat keputusan yang betul, mengurangkan risiko daripada kesan pengambilan PT&K melalui perkongsian maklumat, dan untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak pengguna dalam penggunaan PT&K yang betul dan selamat. Orang awam disarankan agar merujuk kepada panduan pengguna tersebut sebelum mendapatkan apa-apa perkhidmatan PT&K di Malaysia.
Akta 775 menyatakan bahawa mana-mana individu yang ingin mengamalkan bidang amalan diiktiraf hendaklah berdaftar dengan Majlis PT&K. Majlis PT&K akan menetapkan kriteria bagi pendaftaran pengamal PT&K yang akan dimulakan kelak.
Menurut PT&K 2016 [Akta 775] telah mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016. Namun, implementasi Akta tersebut adalah secara berfasa. Pada fasa pertama kini, seksyen yang diimplementasikan melibatkan penubuhan Majlis PT&K, mengenalpasti bidang amalan untuk diiktirafkan, mengenalpasti badan pengamal yang ditetapkan dan kuasa untuk Menteri untuk membuat peraturan.
Fasa kedua pula akan melibatkan penetapan tarikh untuk implementasi seksyen yang berkaitan dengan pendaftaran pengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf. Fasa terakhir pula adalah implementasi penuh Akta ini. Proses pendaftaran bagi pengamal PT&K akan ditetapkan oleh Menteri Kesihatan kelak.
Sehubungan itu, Akta 775 hanya mengawalselia amalan dan pengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf sahaja. Berdasarkan Perintah PT&K (Bidang Amalan Diiktiraf) 2017 yang diwartakan pada 28 Julai 2017 dan dikuatkuasakan bermula 1 Ogos 2017, bidang amalan diiktiraf adalah Perubatan Tradisional Melayu (PTM), Perubatan Tradisional Cina (PTC), Perubatan Tradisional India, Homeopati, Kiropraktik, Osteopati dan Amalan Pengubatan Islam.
Pendaftaran fasilik PT&K tidak tertakluk di bawah Akta 775. Sebaliknya, pendaftaran dan perlesenan fasiliti PT&K adalah di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan. Buat masa ini KKM tidak mengawalselia fasiliti PT&K kerana ia tidak tertakluk di bawah Akta 775.
Sementara itu, KKM menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan daripada pengamal yang berkelayakan dan berpengalaman.— al-Siha
Bekam merupakan rawatan alternatif yang sering menjadi pilihan rakyat di negara ini.