Jenis rawatan masalah Ostearthritis diklasifikasikan kepada farmakologi (ubat), bukan farmakologi (bukan ubat) dan pembedahan lutut.
Rawatan farmakologi adalah rawatan ubat penahan sakit dan anti keradangan yang sangat berkesan kepada OA lutut diperingkat awal. Namun, ia harus dipreskripsikan oleh doktor kerana terdapat kesan sampingan ubat yang sering terjadi kepada warga emas seperti gastritis (sakit perut) atau jika sekiranya pesakit mengidap penyakit lain yang tidak boleh diberikan ubat tahan sakit yang tertentu.
Di samping ubat makan, ubat jenis sapuan (gel atau krim) juga boleh digunakan untuk melegakan kesakitan.
Ubat-ubat lain seperti Glucosamine dan Chondroitin adalah sebagai suplemen tambahan yang boleh diambil. Glucosamine bertindak dengan mengembalikan cecair sendi dan melicinkan pergerakan sendi. Manakala Chondroitin pula melegakan kesakitan lutut jika diambil pada peringkat awal OA.
Untuk rawatan bukan farmakologi yang ada adalah melalui pendedahan kepada pesakit tentang penyakit OA lutut, kepentingan rawatan berterusan dan sentiasa positif. Perubahan cara hidup seperti kurangkan berat badan, senaman yang bersesuaian dengan pesakit, fisioterapi (untuk menguatkan otot-otot lutut, keseimbangan dan menguatkan fizikal pesakit), Transcutaneous Electro Stimulation (TENS) untuk mengurangkan kesakitan, Thermo Theraphy (terapi haba) dan Occupational Therapy (terapi pemulihan cara bekerja)untuk mencapai fungsi fizikal optimum pesakit.
Rawatan pembedahan lutut pula adalah pilihan terakhir kepada pesakit OA yang telah mengalami kerosakan lutut yang teruk dan tidak berjaya dengan kaedah rawatan lain. Rawatan pembedahan ini hanya boleh ditentukan dan dibuat oleh doktor pakar tulang (pakar orthopaedic).
Cara mencegah OA :
- Periksa tahap kesihatan lutut jika sudah ada tanda-tanda sakit lutut.
- Minum air yang banyak.
- Tambahkan ke dalam diet seharian makanan seperti minyak ikan, olive oil (minyak zaiton), avokado dan kekacang.
- Banyakkan memakan buah beri, anggur merah dan sayuran hijau.
- Bersenam dan dapatkan B.M.I yang normal.
- Mengamalkan pengambilan suplemen multivitamin yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).