Kaum Adam sanggup lakukan apa saja demi membuktikan tahap kejantanan
Oleh MOHD SHAH CHE AHMAD
Sebagai lelaki, zakar merupakan satu daripada ‘aset’ paling berharga pada tubuh bagi membuktikan tahap kelelakian seseorang. Kajian Andrology Australia menunjukkan, 86 peratus lelaki mempercayai saiz dan bentuk alat sulit atau zakar penting sebagai lambang keterampilan diri sebagai lelaki sejati.
Kajian tersebut juga mendapati empat responden tidak teragak-agak mendapatkan saiz zakar idaman jika ada kaedah berkesan dan dipercayai dapat digunakan.
Dapatan ini secara tidak langsung menggambarkan penanda aras realiti keinginan majoriti kaum Adam termasuk di negara ini dalam mencapai impian tersebut sehingga sanggup melakukan apa sahaja tanpa melakukan kajian terperinci.
Buktinya, alat membesarkan anggota sulit, pam vakum zakar kini boleh didapati di mana sahaja semudah di hujung jari dan terus sampai ke pintu rumah.
Ini pastinya berikutan permintaan yang tinggi membuatkan peniaga merancakkan lagi promosi kononnya alat ‘azimat’ tersebut termasuk dengan memasarkan menerusi dalam talian bagi mengaut keuntungan.
Hakikatnya, Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Muhammad Tauffik Mohd. Noor berkata, pam vakum zakar atau vacuum erection device (VED) merupakan alat bantu yang berkesan bagi golongan tertentu, namun tidak bagi individu normal.
Beliau berkata, ini kerana VED yang disalahguna bukan sahaja boleh mengakibatkan hubungan intim menjadi hambar, malah mencederakan bahagian alat sulit tersebut untuk jangka masa panjang jika digunakan sesuka hati.
“”VCD biasanya didatangkan dengan pam vacum device bersama dengan alat getah cincin yang diletakkan pada hujung proxima zakar bertujuan untuk memerangkap darah selepas dipam bagi memanjangkan tempoh ereksi seseorang.
“Jika penggunaannya tidak mengikut panduan ditetapkan seperti digunakan lebih daripada 30 minit, ini akan mengakibatkan aliran darah pada anggota sulit tidak sempurna, oksigen berkurangan dan lebih membimbangkan merosakkan tisu-tisu anggota zakar yang dipanggil ‘priapism’ disebabkan ereksi yang berpanjangan. “Jika tidak sekalipun, ia lazimnya mengakibatkan zakar menjadi kebas sebelum bertukar pucat dan kebiru-biruan yang akhirnya menghalang seseorang lelaki mencapai tahap ejakulasi normal,” katanya.

VCD UNTUK SIAPA?
Mengulas lanjut, Profesor Dr Muhammad Tauffik berkata, VCD adalah alat bantuan ereksi bagi golongan yang mempunyai masalah ereksi bertujuan mengeraskan alat zakar disebabkan oleh masalah aliran darah yang lemah ke otot zakar.
Tambah beliau, seperti pesakit kencing manis dan masaalah saraf alat zakar selepas melakukan pembedahan prostat.
“Kajian menujukkan, lebih 70 hingga 90 peratus pengguna berpuas hati dengan keberkesanan alat ini dan ia diakui efektif ketika melakukan hubungan.
“Namun, apa yang penting adalah pengguna perlu mendapatkan nasihat pakar agar rawatan VCD ini adalah sesuai diberi, ini kerana dikhuatiri menimbul kepada yang lebih serius,” katanya.
Beliau berkata, “ bagi lelaki yang mengalami masalah ketidakfungsi ereksi yang tidak serius dinasihatkan untuk menggunakan rawatan lain seperti pengambilan ‘supplement’ atau rawatan alternatif lain yang diiktiraf seperti abstrak atau pil tongkat ali yang mendapat pengesahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia” jelasnya.
LUAR TABI’I
Justeru, beliau menyifatkan penggunaan VED dan VCD tanpa kelulusan pakar sebagai tindakan luar tabi’i yang ternyata bertentangan dengan kehendak maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.
“Secara peribadi, saya tidak bersetuju individu normal menggunakan alat ini demi mencapai keinginan nafsu semata-mata. Ini kerana, ereksi dan ejakulasi merupakan proses semulajadi mengikut tahap kemampuan seseorang.
“Penggunaan alat bagi memuaskan nafsu sehingga boleh memudaratkan diri adalah perbuatan yang ditegah dalam agama, malah berdosa,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan agar satu mekanisme kawalan penjualan barangan dalam talian diwujudkan terutama membabitkan barangan kesihatan dan perubatan.
“Pengguna yang ingin menggunakan alat ini perlu melalui proses yang betul bagi mengelakkan daripada dikuasai pasaran gelap.
“Disebabkan permintaan tinggi inilah menggalakkan lagi peniaga terutama dalam talian untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan memasarkan produk tersebut,” ujarnya.— al-Siha
Fakta : VED dihasilkan bagi kegunaan golongan yang mempunyai masalah ereksi untuk mengeraskan alat sulit

Risiko penggunaan VED
▶Mengakibatkan pasangan kurang selesa atau sakit.
▶Alat sulit akan berasa kebas atau berubah warna dan kurang deria apabila disentuh.
▶ Menghalang seseorang lelaki mencapai tahap ejakulasi normal.
▶Ereksi berterusan (priapism) boleh menyebabkan penyempitan saluran arteri darah dan kurang oksigen ke otot zakar.
▶ Ia tidak boleh membesarkan alat sulit secara kekal tetapi hanya sementara.
▶ Cenderung kepada nipis zakar, zakar lemah dan mengurangkan erection uptime.
▶Anda menjadi terlalu bergantung kepadanya dan tidak boleh mendapatkan ereksi tanpanya.
Secara peribadi, saya tidak bersetuju individu normal menggunakan alat ini demi mencapai keinginan nafsu semata-mata”–
Dr Muhammad Tauffik