
oleh
Wan Mohd Hakim Wan Ismail Pegawai Kecergasan Kementerian Kesihatan Malaysia Pakar
Guru ambil inisiatif tingkat kesihatan penuntut melalui senaman ringkas
Profesion seorang pendidik kini dilihat tidak tertumpu kepada menyampaikan ilmu akademik semata-mata, malah jika diperhatikan tugas mereka lebih dari itu.
Menyedari masalah obesiti dikalangan pelajar kian membimbangkan, enam orang guru dikenali sebagai Noorul Yaana Yahaya, Mohd Fakhrurrozi Mat Aris@Jamaludin, Nik Rozaimah Nik Zainuddin, Eizhar Idris, Muhammad Afiq Abd Razak@Mansor, dan Ajmal Abu Bakar menubuhkan teacherobik bermula pada tahun 2018 bertujuan membantu pelajar melakukan gerakan yang pada masa sama menyeronokkan.
Menurut Pengasas Bersama, Muhammad Afiq Abd Razak@Mansor atau lebih dikenali sebagai Cikgu Afiq, teacherobik ditubuhkan untuk menggalakkan pelajar supaya melakukan senaman mudah, sekaligus meningkatkan kadar aktif aktiviti jasmani, kawalan emosi, kesihatan fizikal dan banyak lagi.
PENUBUHAN TEACHEROBIK
“Kami mempunyai minat yang sama, bermula dari program merdeka, kami buat satu video aerobik dengan gerakan mudah aerobik mengikut rentak muzik, tanpa kami sangka video tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan tontonan melebihi 2.7 juta,”katanya.
Sementara itu, Guru Pendidikan Jasmani, Nik Rozaimah Nik Zainuddin berkata kami sebenarnya fokus kepada misi untuk mengurangkan obesiti dikalangan pelajar sekolah dan memudahkan guru-guru yang lain membuat rujukan.
“Aerobik yang kami lakukan menggunakan pergerakan yang sangat mudah, tetapi jika dilakukan secara fokus dapat membakar sebanyak 200 hingga 400 kalori dengan aktiviti selama 30 minit.”
“Sebagai seorang guru pendidikan jasmani, saya kongsikan segala gerakan sepatutnya, terutama mengelakkan high intensity dan kecederaan.”
“Sejak teacherobik beroperasi, kami terima banyak komen positif seperti gerakan yang mudah diikuti pelajar sekolah, pra sekolah, malah kanak-kanak istimewa, serta surirumah yang mementingkan kecergasan dan kesihatan.”
“Lebih mengembirakan, video yang dihasilkan dikatakan membantu pesakit yang mengalami sakit lutut, untuk mula bergerak secara perlahan-lahan,” jelas Ajmal Abu Bakar.
Tambah beliau, tanpa kami sedar, ramai rupanya yang meminati senaman aerobik ini dan teacherobik sendiri telah mengumpulkan seramai 70,000 pelanggan (subscriber).
CABARAN TEACHEROBIK
“Bermula dari sekadar hobi, siapa sangka jadi sumber pendapatan,” jelas Mohd Fakhrurrozi Mat Aris@Jamaludin.
Ujarnya, semua ahli kumpulan sememangnya minat dengan tarian, dan masing-masing memegang jawatan dalam aktiviti kebudayaan.
Eizhar Idris menjelaskan, pihaknya setakat ini telah menghasilkan sebanyak 48 video, dengan purata tontonan 50 ribu hingga 100 ribu tontonan menjadikan jumlah keseluruhan 16 juta tontonan.

Teacherobik kini miliki 70,000 subscriber
di YouTube.
“Kami turut menerima jemputan daripada sekolah, syarikat luar untuk mengetuai senaman aerobik pada majlis tertentu, cuma tidak dapat memenuhi semua permintaan memandangkan kekangan masa yang ada dan juga tugas hakiki yang tidak mengizinkan.”
KESEDARAN ORANG AWAM
“Orang ramai dilihat semakin menitik beratkan tentang kesihatan masing-masing. Jika diperhatikan, kebanyakan mereka sudah mula mengunjungi pusat kecergasan sepeti gimnasium, menyertai aktiviti Zumba, aerobik, menunjukkan tahap kesedaran rakyat Malaysia untuk kesihatan semakin meningkat,”jelas Cikgu Afiq.
“Youtuber juga sudah ada yang mula berkongsi tentang pemakanan yang sihat, sambil menjelaskan khasiat makanan sihat yang diamalkan untuk sihat.
Jelasnya, individu yang ingin sihat hendaklah memulakan langkah pertama dan berhenti memberikan alasan.
“Permulaan itu susah, tetapi apabila sudah bermula, segalanya akan menjadi lebih senang,” jelas Ajmal.
Elakkan senaman dalam keadaan badan yang tidak bersedia, kerana akan memudaratkan, dan pantau tahap kesihatan terlebih dahulu serta lakukan gerakan mudah dan jaga pemakanan. — al-Siha
Terus istiqamah lakukan senaman
Bukan mudah untuk kekalkan momentum dan sentiasa bersemangat dalam melakukan senaman, kerana senaman bukan satu kerja hakiki yang diberi ganjaran seperti gaji dan sebagainya, tetapi dilakukan untuk mendapatkan kesihatan yang baik, bebas dari pelbagai penyakit, seterusnya memberi kualiti dalam aktiviti harian.
Oleh itu, tidak ramai yang berjaya untuk istiqamah dalam bersenam dan ramai yang kecundang di tengah jalan. Bukan kerana tidak berani meneruskan perjalanan, tetapi kebanyakkannya hilang semangat untuk kerana tidak mendatangkan sebarang hasil.
Ikuti langkah berikut untuk kekal bersemangat:
Objektif
Cuba ingat semula tujuan utama kita melakukan senaman dan sentiasa memperbarui objektif senaman dari semasa ke semasa supaya ianya lebih baik dan sesuai mengikut keadaan.
Muzik
Kajian menunjukkan muzik antara faktor penting dalam sukan. Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa atlet yang mendengar muzik lebih berprestasi berbanding atlet yang tidak mendengar muzik. Alunan muzik dapat membantu dan mengekalkan momentum sekaligus memberi semnagat untuk melakukan senaman. Pilih lagu yang mempunyai rentak yang sesuai mengikut jenis senaman.
Makanan
Pilih makanan yang senang untuk dihadam sebelum bersenam. Minum minuman yang memberi tenaga. Terdapat pelbagai jenis minuman dan makanan sukan dipasaran, pilihlah yang seusai, ianya direka khas dimakmal sukan untuk mendapatkan prestasi yang optimum.
Rakan
Kita harus bijak memilih kawan mengikut keadaan semasa. Kawan untuk senaman penting, bagi membantu meningkatkan bersemangat dan saling memotivasikan. Jangan cari kawan yang tinggal jauh dari rumah dan kawan yang mempunyai objektif berbeza, menurun dan menaikkan berat badan adalah misi yang jauh berbeza.
Mempelbagaikan
Elakkan stres ataupun tertekan. Lakukan dalam keadaan tenang dan menggembirakan. Jadikan ia suatu rutin yang buat kita ingin melakukannya lagi. Oleh itu, cuba mempelbagaikan senaman. Kalau objektif kita nak kurus, terdapat 1001 jenis senaman untuk nak kurus sebenarnya. Sampai bila mahu berlari di treadmill setiap hari? Cuba buat jadual dan memperbagaikan senaman di gimnasium, bukit-bukit, merentas desa, latihan litar dan sebagainya. — al-Siha

Aerobik yang kami lakukan menggunakan pergerakan yang sangat mudah, tetapi jika dilakukan secara fokus dapat membakar sebanyak 200 hingga 400 kalori dengan aktiviti selama 30 minit”–
Nik Rozaimah