Buka pusat rawatan kesuburan baharu, bantu pasangan timang cahaya mata
Alpha IVF & Women’s Specialists, membuka pusat kesuburan yang baharu di Kota Damansara.
Pusat kesuburan tersebut telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj .
Pengasas dan Pengarah Urusan Alpha IVF‒KL, Datuk Dr Colin Lee berkata pihaknya sentiasa komited untuk membantu setiap pasangan mencapai hasrat bergelar ibu bapa.
“Dengan tahap kepakaran yang tinggi dan teknologi yang inovatif, kami menawarkan pelbagai penyelesaian yang optimum kepada pasangan-pasangan untuk keperluan kesuburan,” jelasnya.
Alpha IVF ‒ KL diuruskan oleh lima pakar kesuburan dan 19 pakar embriologi, genetik, andrologi dan saintis yang telah menghasilkan lebih dari 150 hasil kerja saintifik berkaitan rawatan kesuburan dan telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang pertama seumpamanya di dunia dalam bidang IVF.
Berkeluasan 30,000 kaki persegi, Alpha IVF – KL dibina untuk menjadi hab sehenti bagi rawatan kesuburan yang menyediakan rawatan kesuburan yang komprehensif dan pelbagai.
Selain dilengkapi dengan teknologi perubatan yang canggih, termasuk empat unit EmbryoScope+ iaitu kemudahan pengawasan embrio selang masa, pusat kesuburan ini turut memiliki sistem Cryotec Cryopreservation yang telah mencapai kadar ketahanan hidup sebanyak 100 peratus dengan konsisten untuk embrio dan blastosista semasa proses beku-cair.
Sejak penubuhannya pada 2011, teknologi canggih Alpha IVF – KL diiktiraf dengan Kadar Kehamilan Klinikal IVF sebanyak 82.9 peratus, setanding dengan pusat-pusat rawatan IVF yang terbaik di dunia.
Alpha IVF-KL juga telah dianugerahkan sebagai Penyedia Perkhidmatan Kesuburan yang Terbaik di Asia Pasifik 2019 oleh Global Health and Travel serta sebagai Pusat Rawatan Kesuburan Terbaik di Malaysia untuk Amalan Terbaik pada 2018 oleh Frost and Sullivan.
Sejak sekian lama, Raja Permaisuri Agong telah menyokong pasangan-pasangan yang mempunyai masalah kesuburan melalui Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Sempena pembukaan pusat rawatan baharu, Alpha IVF-KL akan menaja 15 rawatan IVF sebagai tanda sokongan kepada TAFF. Hadiah penajaan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong oleh Datuk Dr Colin Lee bersama beberapa kanak-kanak yang dilahirkan hasil rawatan melalui usaha sama antara Alpha IVF‒KL dengan TAFF.
Penyanyi terkenal Malaysia, Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin, turut menghadiri majlis pelancaran tersebut. Beliau memberikan penghormatan kepada Raja Permaisuri Agong dengan menyanyikan lagu popularnya, Comel Pipi Merah. — al-Siha
