INDIVIDU yang mengalami osteoporosis boleh patah tulangnya walaupun selepas jatuh yang paling minor walau hanya dari ketinggian paras berdiri atau sekadar bersin atau membongkok untuk mengikat tali kasut.
Di seluruh dunia, satu dalam tiga orang wanita dan satu dalam lima orang lelaki berusia 50 tahun atau ke atas akan mengalami keretakan berkaitan osteoporosis. Kira-kira 200 juta orang mengalaminya, yang mengakibatkan keretakan pada setiap tiga saat.
Walaupun terdapat banyak faktor yang boleh menunjukkan kepada kemungkinan osteoporosis, namun yang paling biasa ialah tulang patah selepas berumur 50 tahun selepas jatuh dengan trauma yang rendah, kehilangan ketinggian sebanyak lebih empat sentimeter (cm) penggunaan jangka panjang glukokortikoid dan ubat-ubatan yang merosakkan tulang, menjadi lemah dan kurang berat badan serta sejarah ibu bapa yang mengalami osteoporosis atau keretakan tulang pinggul.
Kesakitan akut, proses rehabilitasi yang lama, ketidakupayaan jangka panjang, kebergantungan kepada penjaga dan kehilangan kualiti hidup, ini keadaan yang dialami individu osteoporosis. Keretakan pada tulang pinggul juga boleh mengancam kehidupan, menyebabkan kehilangan fungsi serta kebebasan.
PERLU BANTUAN
40 peratus individu mengalami osteoporosis tidak dapat berjalan sendiri manakala 60 peratus memerlukan bantuan setahun kemudian. Kehilangan fungsi juga akan menyebabkan 33 peratus individu bergantung sepenuhnya kepada penjaga atau berada di rumah jagaan setahun selepas mengalami keretakan pada tulang pinggul.
Presiden International Osteroporosis Foundation (IOF), Profesor Cyrus Cooper berkata, individu dewasa perlu menjadikan kesihatan tulang mereka sebagai suatu keutamaan.
“Mengekalkan tulang dan otot yang kuat merupakan kunci kepada masa depan yang aktif dan kebolehan bergerak pada usia tua,” katanya.
Tambah beliau, seorang individu yang telah mengalami satu keretakan kerapuhan amat terdedah kepada keretakan seterusnya dengan risiko lima kali ganda lebih besar dalam tahun pertama. Namun demikian, kira-kira 80 peratus daripada pesakit ini tidak dikenal pasti mahupun dirawat dengan cara sepatutnya, jangan teragak-agak untuk meminta doktor melakukan ujian dan strategi rawatan yang bersesuaian sekiranya perlu,” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Hari Osteoporosis Sedunia, baru-baru ini.— al-Siha
