Pura-pura berlakon atau pretend play sinonim dengan kanak-kanak. Ia penting dalam pembesaran anak kecil
Oleh Nurul Fadhlin
Che Ismail
Bermain secara olok-olok amat penting dalam perkembangan awal kanak-kanak. Mereka belajar melalui pemerhatian, imaginasi dan tingkah laku. Pembelajaran melalui permainan ini diiktiraf sebagai kaedah pembelajaran dan perkembangan terpenting kanak-kanak.
Bermain secara olok-olok membantu mereka memegang watak yang berbeza-beza di mana idea-idea dan emosi dibentuk dan disusun semula. Ia merupakan ciri utama perkembangan sosial dan kongnitif kanak-kanak.
Menurut pemilik dan pengusaha Taska Fantasia Alam (TFA), Azlina Johari, bermain olok-olok merupakan aktiviti asas yang sangat berkesan dalam membentuk kreativiti pemikiran kanak-kanak dan ia merupakan sifat semulajadi yang ada pada diri mereka.
“Baru-baru ini TFA menjalankan sesi Plushy Hospital di mana ia juga merupakan salah satu daripada aktiviti bermain secara olok-olok. Kanak-kanak yang menyertai aktiviti ini akan membawa anak patung masing-masing dan berlakon sebagai doktor.
“Kami menyediakan ruang aktiviti menyerupai sebuah hospital dengan melengkapkan setujuh-tujuh asas sensory kanak-kanak dari bau, bunyi dan sebagainya bagi merangsang memori dan membentuk kreativiti mereka.
Selain memupuk imaginasi, permainan olok-olok ini juga mampu mengembangkan sosial dan emosi, bahasa serta cara berfikir dalam kalangan mereka.
“Apa yang saya perhatikan ada diantara mereka mengaitkan hospital dengan penjual buah kerana buah mampu mencegah kemasukan ke hospital dan pelbagai lagi anggapan lain berdasarkan imaginasi mereka.
Pretend play tidak perlu dibimbing
Ramai dalam kalangan ibu bapa yang menganggu ketika proses lakonan olok- olok dengan cuba memperbetulkan tindakan anak ketika bermain. Hakikatnya, ibu bapa perlu membiarkan proses itu berlaku secara langsung tanpa mempedulikan kesalahan mereka.
“Hakikatnya bermain secara olok-olok ini tidak memerlukan bantuan. Bagi kanak-kanak berusia di antara dua hingga empat tahun, mereka boleh bermain sendirian tanpa memerlukan bimbingan orang dewasa.
“Secara semulajadinya kanak-kanak akan bermain olok-olok sehingga akhil baligh.
“Bak kata Albert Einstein, play is the highest form of research for each and every kids,” katanya. — al-Siha
Hitam putih main peranan penting
Menyambut ke-hadiran orang baharu selalunya diiringi dengan pelbagai persediaan. Dari pakaian, kelengkapan bilik tidur, carseat, semuanya disedia lengkap. Bagi bayi lelaki, pemilihan warna biru muda adalah lebih sinonim. Manakala, bayi perempuan pula berwarna merah jambu. Namun, tahukah anda warna hitam dan putih adalah lebih penting bagi seorang bayi.
Menurut Azlina, penglihatan awal seorang bayi amat terhad. Mereka hanya bertindak balas pada warna hitam dan putih serta corak-corak kontras yang tinggi. Ia mampu menyokong perkembangan visual bayi selain membantu mereka memberi perhatian dan tumpuan yang lebih.
“Bayi baru lahir lebih jelas melihat warna hitam dan putih. Ia berlaku sehingga bayi mencapai usia empat ke enam bulan. Kemudian mereka akan melihat warna merah. Sekitar usia lapan bulan pula, penglihatan mereka semakin jelas. Pada ketika itu, kebanyakan bayi mula mengecam orang asing yang menghampirinya.
“Bayi dan kanak-kanak belajar melalui bermain. Oleh itu, menyediakan ruang yang dilengkapi dengan warna-warna berkenaan serta corak-corak yang kontras membantu mereka berfikir dan seterusnya belajar tentang persekitaran dengan lebih cepat.
Dalam tempoh 3 bulan pertama, bayi hanya mampu memberi tumpuan kepada objek yang berada pada jarak lapan hingga 12 inci. Ia menyamai jarak ibu ketika sedang menyusukan bayi. Oleh itu, ibu bapa turut dinasihatkan untuk memakai pakaian hitam dan putih bagi menggalakkan stimulasi yang lebih optimum sepanjang tempoh berkenaan. — al-Siha
Bayi beri respon kepada warna hitam putih.
Flushy Hospital merupakan usaha ibu dan guru TFA untuk membentuk kreativiti dan imaginasi ke tahap maksima. Jangan ganggu ketika mereka sedang berimaginasi. Kanak-kanak menjadi doktor dan anak patung menjadi pesakit.