DARI FARMASI OLEH
ZANARIAH ABU BAKAR Pegawai Farmasi,
Hospital Sultanah Aminah

Penggunaan antibiotik berulang tingkat bilangan bakteria jahat
SENARIO pesakit yang menghidapi masalah selesema, bersin, hidung tersumbat atau sakit tekak berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat antibiotik merupakan perkara yang lazim berlaku ketika ini. Namun, sekiranya doktor telah memeriksa dan mendapati keadaan ini adalah disebabkan oleh jangkitan virus, lazimnya tiada ubat antibiotik akan diberikan kepada pesakit. Persoalannya, mengapakah ubat antibiotik tidak diberikan kepada pesakit untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus?
Antibiotik adalah kumpulan ubat yang digunakan untuk melawan jangkitan bakteria dengan membunuh atau merencatkan pertumbuhan atau menghalang pembiakannya. Antibiotik telah digunakan bertahun-tahun untuk merawat penyakit jangkitan bakteria dan ia berjaya mengurangkan kadar kematian yang disebabkan olehnya.
Oleh itu, antibiotik hanya berkesan atas jangkitan bakteria dan ia tidak berkesan dalam rawatan jangkitan yang disebabkan oleh mikroorganisma atau kuman lain seperti virus dan fungus. Walau bagaimanapun, penggunaan antibiotik tanpa kawalan sejak kebelakangan ini dalam bidang perubatan mahupun penternakan telah menyebabkan peningkatan kes kerintangan antibiotik berlaku.
PUNCA KERINTANGAN ANTIBIOTIK
Kerintangan antibiotik adalah situasi apabila antibiotik yang digunakan dalam rawatan jangkitan bakteria sebelum ini tidak lagi berkesan dalam rawatan jangkitan kerana bakteria telah menjadi kebal terhadap antibiotik tersebut.
Jika pesakit tidak menggunakan antibiotik seperti diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi, contohnya amalan tidak menghabiskan antibiotik apabila berasa penyakit mula reda, ia bakal menyebabkan keadaan kerintangan antibiotik berlaku. Kerintangan antibiotik juga boleh berlaku apabila mutasi bakteria berlaku dan menyebabkan antibiotik hilang keupayaan untuk melawannya.
Apabila antibiotik diambil, bakteria yang sensitif (tidak rintang antibiotik) akan dibunuh atau direncat pertumbuhannya. Walau bagaimanapun, bakteria yang kebal atau rintang antibiotik akan tinggal dan membiak. Ini menunjukkan bagaimana penggunaan antibiotik yang berulang-ulang akan meningkatkan bilangan bakteria yang rintang antibiotik.

Kerintangan antibiotik merupakan suatu perkara yang berbahaya dan boleh mengancam nyawa. Ia merupakan satu krisis dalam bidang perubatan bukan hanya di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Semua pihak termasuk doktor, ahli farmasi serta masyarakat perlu berganding bahu dalam membendung keadaan yang membimbangkan ini.
Apabila tiada penemuan antibiotik baharu dan situasi pertambahan kes kerintangan antibiotik berlaku, jangkitan bakteria boleh menjadi lebih teruk dan ini seterusnya menyebabkan komplikasi jangkitan, peningkatan kadar kemasukkan ke hospital dan meningkatkan kos rawatan. Dalam keadaan yang serius, sesetengah kes kerintangan antibiotik juga boleh menyebabkan kematian.
CARA MENCEGAH KERINTANGAN ANTIBIOTIK
Semua pihak memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah kerintangan antibiotik. Doktor hanya akan memberikan antibiotik kepada pesakit yang memerlukan sahaja. Selain itu, ubat antibiotik merupakan ubat terkawal yang mana pesakit hanya boleh mandapatkan ubat tersebut daripada doktor atau di premis farmasi komuniti melalui preskripsi yang sah.
Keadaan seperti selesema, hidung berair dan sakit tekak yang disebabkan oleh jangkitan virus sebenarnya tidak memerlukan antibiotik. Antibiotik tidak dapat merawat jangkitan virus malah mungkin meningkatkan risiko berlakunya kesan sampingan yang tidak diingini.
Pesakit pula tidak harus memaksa doktor untuk mempreskripsikan antibiotik. Sekiranya antibiotik diberikan oleh doktor, pesakit dinasihati untuk mengambil antibiotik seperti diarahkan. Jangan berhenti mengambilnya tanpa arahan daripada doktor walaupun sudah berasa sihat.
Jangan sesekali meninggalkan dos, menyimpan antibiotik untuk kegunaan masa depan, dan berkongsi ubat antibiotik dengan orang lain. Pesakit juga dinasihati agar jangan malu bertanya kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan ubat antibiotik dan cara pengambilannya.
Masyarakat diingatkan agar tidak membeli ubat antibiotik secara dalam talian atau daripada sumber yang tidak sah kerana pembelian dan penggunaan antibiotik yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia atau tanpa kawalan ahli profesional kesihatan boleh mendatangkan kesan mudarat yang tidak diingini.
Sebagai kesimpulan, pelbagai pihak termasuk pengguna, ahli profesional kesihatan dan juga mereka yang terlibat dalam bidang penternakan perlu memainkan peranan bersama-sama dalam menangani masalah kerintangan antibiotik demi kesejahteraan hidup pada masa depan. — al-Siha
Sebarang pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, orang awam atau boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hinggan 5 petang kecuali cuti umum) untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Fakta
ANTIBIOTIK ADALAH KUMPULAN UBAT YANG DIGUNAKAN UNTUK MELAWAN JANGKITAN BAKTERIA DENGAN MEMBUNUH ATAU MERENCATKAN PERTUMBUHAN ATAU MENGHALANG PEMBIAKANNYA