Program rawatan Methadone bantu penagih dadah rawat ketagihan

Dari Farmasi
oleh
Mohamad farhan adi kasuma
Pegawai Farmasi
Hospital Taipaing
Mendengar istilah penagih dadah saja telah cukup membuat kita menjauhkan diri kerana ia sudah menjadi suatu stigma sosial yang cenderung melabelkan penagih-penagih dadah dengan imej negatif.
Bagi golongan penagih yang telah terjebak dalam aktiviti penagihan dadah, apakah pula nasib dan masa depan mereka? Terus terpinggir dan bergelumang dengan dadah di lorong gelap tanpa halu tuju yang jelas?
Program Rawatan Methadone
Program Rawatan Methadone adalah salah satu komponen pengurangan mudarat (harm reduction) dalam usaha kerajaan menangani isu penagihan opiat di negara ini. Program Rawatan Methadone juga bertujuan untuk mengawal penyakit jangkitan virus bawaan darah seperti HIV yang berpunca daripada aktiviti perkongsian jarum dalam kalangan penagih dadah.
Dilaporkan di Malaysia, penurunan yang signifikan telah dicatatkan bagi bilangan kes HIV yang disebarkan melalui penagihan dadah bentuk suntikan. Peratusan kes baharu HIV akibat penagihan dadah bentuk suntikan yang dilaporkan telah menunjukkan penurunan yang ketara daripada 66 peratus (4,038 kes) pada tahun 2005 ke 16.8 peratus (561 kes) pada tahun 2015 dan turun ke 2.82 peratus (93 kes) pada tahun 2018.
Program Rawatan Methadone ini membantu penagih dengan menggantikan dadah yang diambil melalui suntikan seperti heroin dan morfin dengan menggunakan ubat methadone dalam bentuk cecair yang diminum. Rawatan ketagihan dadah dengan menggunakan methadone dapat menghilangkan kebergantungan terhadap opioid secara berperingkat dan membantu pesakit bebas daripada rasa gian.
Methadone mempunyai tempoh tindakan yang panjang (24-36 jam) apabila diambil secara oral. Ini membolehkan pengambilan dos sekali sehari sahaja di bawah pengawasan dan pemantauan anggota kesihatan. Pesakit akan berasa bebas daripada gian sepanjang hari serta kurang mengalami gejala tarikan. Mereka tidak lagi tersepit dengan masalah ketagihan sekaligus keadaan ini memberi peluang kepada mereka untuk bekerja semula dalam masyarakat.
Apa Itu Methadone?
Methadone adalah sejenis ubat sintetik yang terbukti selamat dan berkesan dalam rawatan penagihan opioid. Ia berfungsi dengan mengisi tapak reseptor otak yang terjejas oleh heroin dan opioid lain. Methadone bertindak dengan mengawal ketagihan dan gejala tarikan serta menghalang rasa sangat gembira (euforia) atau khayal daripada pengambilan opioid.
Kelayakan Mengikuti Program Rawatan Methadone
Penagih yang berhasrat untuk mengikuti Program Rawatan Methadone perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan. Pengamal perubatan iaitu pakar atau doktor akan menilai keadaan penagih sebelum memulakan rawatan melalui program ini.
Kebiasaannya penagih mengambil dadah jenis opioid akan didaftar masuk dalam program ini. Selain itu, penyertaan ini adalah secara sukarela dan penagih perlu memberikan persetujuan dan patuh kepada semua peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh program ini.
Namun, rawatan methadone ini kurang sesuai bagi pesakit yang mempunyai masalah kegagalan fungsi hati yang teruk atau masalah perubatan yang serius. Justeru, konsultasi daripada pakar diperlukan bagi merawat pesakit ini.
Kesimpulan
Adalah penting dan bermanfaat bagi pesakit yang mempunyai masalah ketagihan opioid untuk mendapatkan rawatan. Semua pihak perlu berganding bahu dalam usaha menjayakan Program Rawatan Methadone ini.
Oleh itu, apabila berhadapan dengan golongan penagih, masyarakat perlu memberi peluang dan mengubah persepsi terhadap mereka yang ingin berhenti menagih dadah ini. Usah singkir golongan ini seluruhnya tanpa mengambil kira potensi dan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre- NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali cuti umum). — al-Siha

Apa itu Opiat?
Opiat adalah sekumpulan dadah yang bertindak balas terhadap reseptor opiat (tapak penerima kesan tindakan hormon) di dalam tubuh badan terutamanya sistem saraf dan saluran pencernaan. Ia merupakan ubatan tradisional daripada pokok popi, yang biasa diberikan oleh doktor untuk melegakan kesakitan. Pengaktifan reseptor opioid mempunyai kesan yang baik dan tidak baik. Ia adalah agen kemurungan tetapi tidak bermakna ia menyebabkan kemurungan. Ia juga melambatkan sistem badan berfungsi.
Apakah dadah-dadah di dalam kumpulan ini?
Dadah ini boleh dibahagikan kepada natural, semi opioid sintetik dan sintetik. Badan kita juga menghasilkan opiat, dan dikenali sebagai opiat endogen seperti endorfin, enkephalins dan endorfin. Di bawah adalah beberapa contoh dadah.
Dadah Opiat Semula jadi:
▶ Morphine
Kebiasaanya digunakan sebagai ubat tahan sakit.
▶ Codiene
Mempunyai sifat penahan batuk dan sakit.
Biasanya campuran ubat batuk mengandungi dadah ini dan satu lagi bahan yang dipanggil prometazine.
Semi sintetik Opiat yang diproses dari morphine
▶ Heroin (diacethymorphine)
Sejenis dadah yang dikenali sebagai H, fit, ubat, dope, putih cina dan lain-lain.
Mudah ketagih. Penggunaan heroin yang kerap selama seminggu sudah boleh mengakibatkan ketagihan.
▶ Oxycodone, Hydrocodone
Boleh diperolehi dalam bentuk tablet, digunakan sebagai ubat tahan sakit dan selalunya disalahgunakan.
▶ Opiat Sintetik
▶ Fentanyl (kebiasaannya digunakan sebagai ubat tahan sakit dan juga sebagai gantian ubat bagi merawat pesakit yang ketagih dadah jenis Opiat).
▶ Methadone (kebiasaannya digunakan untuk merawat pesakit ketagihan dadah jenis Opiat).
▶ Bupronorphine (kebiasaannya digunakan untuk merawat pesakit ketagihan dadah jenis Opiat)
▶ Loperamide (Kebiasaannya digunakan untuk merawat diarrhea, tidak memberi kesan negatif kepada otak).
▶ Tramadol
Apa itu methadone?
Methadone adalah sejenis ubat sintetik yang terbukti selamat dan berkesan dalam rawatan penagihan opioid.
program rawatan methadone
Membantu penagih dengan menggantikan dadah yang diambil melalui suntikan seperti heroin dan morfin dengan menggunakan ubat methadone dalam bentuk cecair yang diminum.
Rawatan ketagihan dadah dengan menggunakan Methadone dapat menghilangkan kebergantungan terhadap opioid dan membantu pesakit bebas daripada rasa gian.
Sumber:Kementerian Kesihatan Malaysia
Jangan marah membuta tuli
Nafsu amarah perlu dikawal kerana bawa lebih banyak keburukan
Marah seringkali dilihat sebagai satu perasaan yang negatif dan tidak membawa manfaat. Sebenarnya, apa sahaja bentuk perasaan yang Allah ciptakan untuk manusia adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Kita boleh marah asalkan kemarahan itu kerana Allah dan atas perkara yang Allah izinkan sahaja. Kita marah apabila orang mempermainkan agama, melakukan dosa dan maksiat, menzalimi dan menganiaya, mengambil atau menyekat hak kita serta seumpamanya. Namun, marah itu mestilah kena pada orangnya, tempatnya, masanya dan caranya. Usah marah membuta tuli hanya kerana dorongan nafsu atau tanpa kawalan kerana ia akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Apabila marah dan kecewa sekali pun, ia masih perlu disampaikan secara beradab. Sebab, ia mencerminkan keperibadian kita. Tidak salah merasa marah dan tidak salah meluahkan kekecewaan, namun orang yang beriman akan lakukannya dengan cara yang beradab. Lebih hebat lagi, jika boleh untuk tidak marah ketika hati sedang marah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari)
TINDAKAN SEGERA KETIKA RASA MARAH
• Banyakkan membaca istighfar, berzikir dan menyebut nama-nama Allah dalam asmaul husna.
• Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan sambil kosongkan fikiran, ingat Allah – Kehadiran oksigen dapat membantu mengurangkan kemarahan
.• Minum air dan mengambil wuduk. Kerana marah itu bagaikan api yang menyala dan hanya mampu dipadamkan oleh air. Maka ambillah air untuk sejukkan hati.
• Baca ta’awwuz dengan bermaksud ‘aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam’. Sebab orang yang sedang marah itu syaitan masuk ke dalam urat darahnya lalu menguasai pemikirannya. Daripada Sulaiman bin Surd r.a. katanya, Rasulullah bersabda pada dua orang lelaki yang sedang berkelahi: “Sungguh aku tahu satu kalimah yang jikalau seorang berkata akan dia maka hilanglah daripadanya kemarahannya. Jika dia membaca ‘Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam’ maka akan hilanglah kemarahannya.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih)
• Ketika sedang marah cubalah mengubah posisi dan kedudukan. Misalnya, kalau marah ketika duduk maka berdirilah, jika sedang berdiri maka duduklah. Malah dalam kajian ilmu Sains Minda iaitu NLP, fisiologi akan mengubah emosi sama seperti mana emosi boleh mempengaruhi fisiologi.
• Tinggalkan situasi tegang itu segera. Cuba tangguhkan perasaan marah buat seketika dengan meninggalkan situasi yang sukar dikawal itu. Ketenangan lebih mudah diperoleh apabila kita tidak berdepan dengan orang yang membuatkan kita rasa marah dan tidak berada dalam situasi tersebut. Setelah hati sudah tenang dan mampu berfikir secara rasional maka kembalilah. Perbincangan akan lebih waras dan tindakan yang diambil akan lebih realistik. Ramai orang yang menyesal dengan kata-kata dan tindakan yang dilakukannya dalam keadaan marah. Malah banyak lafaz cerai dilontarkan dalam keadaan diri sedang marah. Walhal jika ditangguhkan lafaz itu, keadaan boleh menjadi lebih baik.
• Diam. Usah berkata apa-apa sebaliknya diamkan diri, kosongkan fikiran dan lakukan gambaran minda yang positif dengan fokus kepada mencari hikmah dengan bertanya pada diri sendiri, “Kenapa Allah izinkan situasi ini berlaku? Apa hikmahnya? Apa yang boleh dipelajari darinya?”
• Baca selawat atas Nabi s.a.w beberapa kali.
• Bacalah doa Nabi Ibrahim a.s. ketika dicampakkan dalam api iaitu ayat dalam Surah Al-Anbiya, 21:69 yang bermaksud “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!” — al-Siha
Fakta : Separuh Ketika sedang marah cuba ubah posisi dan kedudukan. Misalnya jika marah ketika duduk, maka berdirilah kerana fisiiologi akan
mengubah emosi


Motivasi oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad
Tindakan jangka panjang
• Banyakkan membaca buku-buku motivasi bagi membantu diri sendiri. Apabila kita banyak membaca dan ilmu penuh di dada maka tindakan serta cara fikir kita juga berbeza. Kita akan lebih matang berdepan dengan orang dan juga situasi yang tegang. Kita tidak lagi bertindak mengikut perasaan.
• Ingat, bukan kita sahaja boleh marah, orang lain pun boleh marah juga. Malah orang lain marahnya mungkin lagi hebat dari kita.
• Bagi seseorang yang tahu bahawa dirinya memang jenis pemarah atau panas baran maka eloklah mengambil langkah-langkah jangka panjang seperti melakukan amalan seperti solat taubat, banyak berbuat baik, sering membaca al-quran, berpuasa sunat, bayar zakat, sedekah dan sebagainya.
• Menjaga diet pemakanan seperti banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan daging merah, banyakkan daging putih seperti ayam dan makanan laut, elakkan makanan yang ada bahan pengawet.
• Aktif dengan kegiatan fizikal seperti bersenam, berbasikal, berlari dan seumpamanya. Badan yang sihat lebih mampu mengawal emosi. Orang yang sakit dan letih, sukar mengawal emosi.
• Rajin buat kerja-kerja amal bagi membunuh kesombongan diri seperti mengutip sampah, mencuci tandas (terutama tandas masjid), memberi derma dan seumpamanya.
• Bergaullah dengan orang yang berilmu dan berjaya. Kerana orang yang alim itu mampu berfikir sebelum bertindak dan lebih bijak membezakan sesuatu perkara. Pastinya melalui pergaulan dengan orang sebegini membolehkan kita banyak meniru caranya dalam hidup kita.