JKKP ambil berat kesihatan mental pekerja di Malaysia
Menyentuh persoalan kelayakan cuti bagi pekerja yang berdepan situasi sukar ini, Dr. Rajinderjit Singh Hullon menjelaskan bahawa sijil cuti sakit akan diberikan kepada pesakit yang dikenalpasti terganggu atau tidak dapat meneruskan tugasan seperti sediakala sahaja.
“Sekiranya pesakit didapati tidak mampu bekerja dan perlu berehat serta menjalani rawatan, maka pesakit akan diberikan sijil cuti sakit melihat kepada keadaan mereka.
“Jika diberi sijil cuti sakit selama setahun sekalipun, jika punca tidak dikenalpasti dan diperbetulkan, dan pekerja yang kembali masih dibuli oleh majikan atau kakitangan atasan, mereka tetap akan mengalami tekanan dan kesihatan mental kembali terganggu. Jadi, punca sebenar perlu diatasi.
Finland dan Sweden merupakan antara negara yang telah melaksanakan atau membenarkan lima hari cuti tanpa rekod bagi setiap tahun. Ditanya sama ada Malaysia sepatutnya mempunyai cuti seumpama ini atau tidak.
Jelasnya, perkara ini masih baharu dilaksanakan di negara tersebut, jadi pihaknya masih belum melihat impak dari pelaksanaan tersebut, dan wajar untuk bertindak adil mengikut keperluan pekerja dan juga majikan.
“Statistik kesihatan mental melibatkan pekerja di Malaysia sangat rendah, jadi kita perlukan satu alasan yang kukuh untuk kearah itu. Misalnya dengan bukti bahawa rakyat Malaysia benar-benar memerlukan cuti tanpa rekod.
Statistik Rendah
Berdasarkan statistik, jika tidak ada sebarang kes di laporkan, bermakna rakyat Malaysia masih tidak terganggu dengan isu kesihatan mental,” katanya.
“Malaysia perlu ada data yang wajar, untuk pelaksanaan cuti tanpa rekod, kerana tanpa data kita tidak boleh membawa perkara ini ke peringkat yang lebih serius,” katanya.
Jelas beliau, isu kesihatan mental, adalah satu penyakit yang sukar untuk dikenalpasti atau ditentukan.
“Setiap pekerja di Malaysia telah diberikan cuti tahunan tetap selama 14 hari, dan negara ini sendiri mempunyai beberapa hari cuti umum dan Malaysia antara negara yang paling banyak cuti tertentu berbanding negara lain di seluruh dunia.
“Bagi saya lima hari cuti tanpa rekod, mungkin sesuatu yang perlu diketepikan dan mungkin sesuatu yang agak mustahil di Malaysia,”katanya. — al-Siha