Anak istimewa perlu lebih perhatian berbanding kanak-kanak normal bagi membantu perkembangan mereka
PASTI ada cabaran tersendiri bagi setiap ibu bapa dalam usaha mendidik atau menegur tingkah laku anak-anak, tetapi mungkin lain pula ujiannya bagi penjaga atau pendidik yang tidak mempunyai pertalian apa-apa terutama untuk anak istimewa dan memerlukan perhatian sewajarnya (special need).
Menurut Jurulatih tae kwan do di Taska Fantasia Alam, Muhammad Saiful Yahaya berkata, kanak-kanak mempunyai pelbagai karakter, sikap ingin tahu yang sangat tinggi dan ragam masing-masing. Kaedah memahami anak-anak ini mungkin berbeza, terutama bagi anak-anak autism, kurang upaya seperti celebral palsy, mild condition, masalah saraf, tidak mampu bergerak dari paras pinggang dan sebagainya.
“Paling utama beri mereka masa untuk menunjukkan karakter sebenar terlebih dahulu. Karakter yang ditunjukkan akan memudahkan kerja pendidik atau penjaga untuk menegur dan menyampaikan sesuatu dengan lebih baik dan berkesan,”katanya.
Tambah beliau, kanak-kanak sebenarnya tidak terlalu degil (tidak dengar cakap), cuma apabila diberi nasihat, mereka akan ikut untuk sementara, namun tetap akan mengulanginya semula nanti.
“Kanak-kanak akan sentiasa memperbaharui sikap atau cara mereka bermain, terutama apabila bersama dengan kawan-kawan, sentiasa ada idea yang baharu, dan juga mencipta permainan yang baharu.
“Arahan jenis alih perhatian (attention) lebih mudah dipatuhi.
Berpengalaman hampir 10 tahun sebagai tenaga pengajar tae kwon do jelas beliau, mendidik pelajar yang beremosi, cepat tersentuh atau sensitif juga perlukan sedikit kesabaran dan strategi agar emosi kanak-kanak tersebut kembali stabil.
“Perlu tahu cara untuk tambat hati (counter balance emotion) mereka semula sekaligus menyebabkan mereka rasa selamat dan ada sokongan. Bagi pelajar yang selalu menginginkan kemenangan berpihak kepadanya, memberontak dan merajuk (continuously emotional) pula perlu dijelasnya dengan cara lembut, berhemah (slow talk)atau memperlahankan suara dan pemujukan.
Anak yang terlalu aktif boleh dikawal melalui kaedah ‘mencuri perhatian’ mereka dengan memberikan tugas atau aktiviti lain seperti melompat atau larian dalam pemantauan.
“Anak-anak aktif seronok jika diberi tugas atau aktiviti tertentu atau tonjolkan kebolehan masing-masing. Contohnya, berapa kuat tendangan, lontaran suara dan sebagainya.
“Kita tidak mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi bagi anak-anak istimewa, autism, celebral palsy dan sebagainya ini, tetapi kita mendoakan semoga sekurang-kurangnya ada sedikit penambahbaikan seperti boleh berfikir sendiri (self thinking), member reaksi atau tindak balas (respond) dan juga semangat yang lebih tinggi.
Bagi kanak-kanak memerlukan (special need), aktiviti kecergasan seperti tae kwan do ini membolehkan badan dan otot mereka bergerak, selain meningkatkan keyakinan diri bahawa mereka juga boleh melakukan pergerakan yang orang lain lakukan meskipun bukan 100 peratus.
“Ibu bapa yang mempunyai anak memerlukan(special need)perlu bersikap terbuka, banyak peluang yang boleh diberikan untuk anak-anak ini kerana saya faham, melayan karenah mereka bukan sesuatu yang mudah tetapi mereka tetap perlukan yang terbaik.— al-Siha
Anak-anak aktif seronok jika diberi tugas atau aktiviti tertentu atau tonjolkan kebolehan masing-masing.”
— Muhammad Saiful