Senario semasa masyarakat kita, ramai yang berminat untuk mengambil ubat pelangsingan badan untuk tampil kurus. Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir masyarakat kita yang ingin menambah berat badan dengan menelan pil ajaib iaitu “Pil Gemuk”. Sejak kebelakangan ini, dapat dilihat terdapat penjualan “Pil Gemuk” secara berleluasa melalui media sosial.
Sebenarnya apakah kandungan “Pil Gemuk” yang dijual melalui media sosial ini? Penjual sering mempromosikan ubat ini dengan nama “Yellow & Orange Tablet”. Ubat ini sebenarnya adalah ubat dengan nama dagangan “Harsen” (tablet berwarna kuning) dan “Kalbe” (tablet bewarna jingga) dan ia dibungkus dalam satu bekas bercampur kedua-duanya.
Menurut “Senarai Produk Dikesan Mengandungi Bahan Terlarang Yang Diterima Melalui Pelaporan Kesan Sampingan Ubat” yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kedua-dua produk ini tersenarai dalam 163 produk yang tidak berdaftar. Kedua-dua produk ini adalah produk keluaran luar negara dan mengandungi dexamethasone, sejenis hormon kortikosteroid (tablet kuning) dan cyproheptadine, sejenis ubat antihistamin (tablet berwarna jingga).
Kedua-dua ubat ini dibungkus semula dalam sebuah bekas atau botol baru secara bercampur dengan label dan jenama lain (Pil Gemuk) dan dijual melalui platform media sosial. Merujuk kepada Dokumen Garis Panduan Pendaftaran Ubat (DRGD) yang dikeluarkan oleh pihak NPRA, pembungkusan dua jenis ubat berlainan jenis dalam sebuah bekas atau botol adalah tidak dibenarkan.
Maka timbul persoalan, adakah gabungan hormon kortikosteroid dan ubat antihistamin ini boleh meningkatkan berat badan seseorang? Tiada kajian kukuh yang dilakukan untuk melihat keberkesanan gabungan kedua-dua ubat ini boleh meningkatkan berat badan. Malah kedua-dua ubat ini juga tidak mempunyai indikasi untuk meningkatkan berat badan.
Dexametasone biasanya digunakan sebagai antikeradangan dalam rawatan asma dan keradangan sendi. Cyproheptadine pula digunakan untuk tujuan rawatan alahan. Jika tiada indikasi untuk meningkatkan berat badan, bagaimana produk ini dikatakan berkesan meningkatkan berat badan individu yang mengambilnya? Oleh itu, kita perlu menilai pula kesan sampingan dexamethasone dan cyproheptidine ini.
Kesan Sampingan Dexamethasone
• Pertumbuhan terencat • Osteoporosis
• Ulser perut • Glaukoma
• Ciri-ciri seperti Sindrom Cushing
• Meningkatkan selera makan
• Meningkatkan risiko kerosakan kulit
• Meningkatkan risiko jangkitan
Kesan Sampingan Cyproheptidine
• Kekeliruan
• Koordinasi yang terganggu
• Pening • Mudah teruja
• Euforia (rasa sangat gembira)
• Halusinasi • Sakit kepala
• Kesukaran untuk tidur • Kerengsaan
• Kegelisahan • Sawan
• Jantung berdegup laju • Anoreksia
• Meningkatkan selera makan
• Sembelit, cirit-birit, mual, muntah
• Penglihatan kabur
Antara kesan sampingan dexamethasone adalah ciri-ciri seperti Sindrom Cushing dan meningkatkan selera makan. Sindrom Cushing merupakan keadaan yang disebabkan oleh kelebihan hormon kortikosteroid dalam tubuh. Keadaan ini dicirikan oleh tekanan darah tinggi, obesiti di bahagian abdomen tetapi dengan lengan dan kaki yang kurus, tanda kemerahan pada regangan kulit, wajah muka menjadi bulat dan kemerahan, ketulan lemak di antara bahu, otot dan tulang menjadi lemah, jerawat, dan kulit mudah luka dan susah untuk sembuh. Bagi kaum wanita akan menunjukkan tambahan tanda dan gejala seperti banyak tumbuh bulu dan kitaran haid menjadi tidak teratur.
Kesan sampingan cyproheptadine juga boleh meningkatkan selera makan, namun cyproheptadine ini juga boleh menyebabkan anoreksia (keadaan yang mana kurang keinginan untuk makan sehingga menjadi amat kurus) dalam sesetengah individu.
RUMUSAN
Individu yang mengambil produk ini mungkin merasakan kesan dalam peningkatkan berat badan apabila melihat wajah muka semakin bulat, kelihatan perut semakin buncit dan terdapat ketulan lemak antara bahu. Namun tanpa disedari, semua gejala atau tanda ini adalah ciri-ciri Sindrom Cushing. Gambar-gambar testimoni pengguna produk ini dalam media sosial jelas kelihatan “moon face” kesan daripada pengambilan ubat jenis hormon kortikosteroid. Ramai yang terkeliru dan menganggap produk ini berkesan dalam peningkatan berat badan.
Pengguna perlu lebih berhati-hati dengan pengambilan sebarang ubat-ubatan. Jangan keliru dengan kesan sampingan ubat-ubatan dan jangan mudah terpedaya dengan penjual yang tidak bertauliah.
Bagi orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan. Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangka masa yang lama digesa supaya tidak memberhentikan penggunaannya secara mendadak dan turut mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan. Ini kerana ia boleh menyebabkan masalah yang boleh membahayakan kesihatan akibat withdrawal syndrome.
Jika ada sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum). — al-Siha
Pekerja bermotivasi tingkatkan produktiviti
Seringkali rungutan diterima dari pihak pengurusan atasan iaitu pekerja mereka hilang motivasi bekerja, produktiviti menurun, kes disiplin meningkat dan seumpamanya. Tidak dinafikan, keuntungan dan produktiviti sesebuah syarikat atau organisasi banyak bergantung kepada kualiti modal insan yang ada dalam organisasi itu.
Apabila pekerja hilang semangat dan motivasi bekerja, atau bekerja dalam paksaan, maka kualiti kerja terjejas dan produktiviti menurun. Pelaburan yang besar bagi memanfaatkan teknologi tiada ertinya jika pelaburan modal insan diketepikan. Malah pelaburan bagi meningkatkan kualiti modal insan lebih utama berbanding dengan pelaburan-pelaburan yang lain.
Cuba bayangkan jika organisasi atau syarikat anda ditunjangi oleh mereka yang ikhlas bekerja, disiplin yang tinggi, bersungguh-sungguh, sanggup jatuh dan bangun bersama organisasi dan sentiasa menjaga keberkatan rezeki. Pastinya menguntungkan.
Semua ini bukan mustahil sekiranya budaya kerja cemerlang berjaya ditanam dalam jiwa seorang pekerja. Untuk menerapkan budaya ini, perubahan mindset dan anjakan paradigma perlu dilakukan. Untuk mencapai perubahan ini pula pekerja perlu diberikan ilmu dan latihan secara berterusan.
CARA TINGKAT MOTIVASI PEKERJA
1. Komunikasi terbuka
Kita seronok apabila wujud komunikasi dua hala antara majikan dan pekerja kerana ia membolehkan setiap masalah diselesaikan secara langsung dan setiap idea disampaikan terus tanpa tapisan.
Sebagai seorang pekerja yang melakukan kerja yang sama saban hari pastinya kita lebih arif tentangnya berbanding orang lain. Amat mengecewakan apabila setiap pandangan dicantas dan setiap usaha ke arah penambahbaikan ditolak tanpa alasan yang munasabah.
2. Bidang tugas
Setiap orang mempunyai bakat dan kecenderungan yang berbeza-beza. Majikan yang cemerlang mampu mengenalpasti bakat dan kecenderungan ini lalu disalurkan pada tugasan yang betul.
Melakukan usaha menukar bidang tugas bagi tujuan mengelak berlakunya kebosanan dalam diri pekerja belum tentu dapat meningkatkan produktiviti. Lebih-lebih lagi apabila tugas itu dijalankan oleh mereka yang tidak berkebolehan atau tidak berminat dengan tugasan yang diberikan.
3. Kebebasan menjalankan kerja
Kita biasanya rimas apabila kerja yang dipertanggungjawabkan terlalu kerap ditanya dan dipantau seolah-olah majikan tidak yakin dan tidak percaya kepada kita. Bagi sesetengah orang cukuplah dengan memberitahu sahaja apa yang perlu dilaksanakan dan semuanya pasti beres.
4.Jaminan kerja
Ada orang kekal bekerja di sesebuah organisasi kerana dia tahu masa depannya terjamin disamping mendapat pencen. Sebab itulah ramai yang berebut-rebut memohon pekerjaan sebagai penjawat awam.
Namun jaminan kerja tiada sebarang makna apabila kita tidak seronok bekerja disebabkan faktor-faktor yang lain seperti tempat kerja yang tidak harmoni, komunikasi yang hambar serta bidang tugas yang membosankan.
5.Rangsangan kerja
Kita seronok bekerja apabila kebaikan yang dilakukan sering dipuji, pengorbanan dihargai, kenaikan pangkat yang telus, idea diterima, latihan diberi, suasana tempat kerja kondusif dan sebagainya. Semua ini akan memberikan kita rangsangan bagi meningkatkan prestasi pekerjaan dan kualiti hasil.
6.Faedah lain dan insentif
Faedah-faedah lain seperti bayaran perubatan, elaun perumahan, bonus tahunan, bonus perayaan dan sebagainya merupakan antara perkara yang juga diambilkira dalam memilih kerja atau memutuskan untuk bertukar kerja.
Walaupun gaji yang diterima lebih rendah tetapi sekiranya insentif-insentif sebegini wujud maka ia sudah cukup membuatkan seseorang pekerja merasa puas kerana merasakan sumbangan mereka dihargai.
7. Waktu kerja yang fleksibel
Ada orang seronok bekerja di sesebuah organisasi kerana waktu kerjanya fleksibel. Mereka ini biasanya terlibat dalam bidang jualan kerana dipihak majikan yang penting bukanlah berapa jam masa mereka berada di pejabat sebaliknya berapa banyak jualan yang dibawa kepada syarikat setiap bulan. Lagi banyak jualan lagi bagus meski pun masa mereka berada di pejabat kurang.
8. Peluang untuk maju
Tiada seorang pun yang suka berada pada satu takuk selama-lamanya. Semua orang mahukan kenaikan pangkat, peningkatan dalam kerjaya, peluang menyambung pelajaran, tanggung jawab yang lebih besar dan sebagainya. Oleh itu majikan perlu fikirkan sesuatu bagi memenuhi kepuasan ini bagi menjana keseronokan bekerja.
9. Gaji dan upah
Ramai yang selama ini menyangkakan bahawa kepuasan bekerja letaknya pada gaji dan upah yang lumayan. Hakikat sebenar adalah sebaliknya. Tidak ada ertinya gaji yang tinggi apabila anda tidak punya masa bersama keluarga, tidak sempat bersosial, tiada masa rehat dan suasana kerja yang tegang. Gaji dan upah lumayan hanyalah hanya memberikan kepuasan jangka pendek sahaja dan bukannya jangka panjang.
10. Saiz organisasi
Ada segelintir orang yang bekerja kerana organisasi tempatnya bekerja memmpunyai bilangan pekerja yang ramai serta nama yang besar. Biasanya, saiz organisasi bukanlah faktor utama dalam mencari keseronokan bekerja.
11. Latihan dan motivasi berterusan
Ramai majikan yang merasakan pelaburan modal insan sebagai perkara kecil dan tidak penting. Cara fikir sebegini ternyata silap. Di mana-mana juga negara maju, pelaburan modal insan diberikan keutamaan dan perhatian yang serius. Pekerja perlukan idea, semangat, ilmu, skil dan pendekatan baru untuk kekal bermotivasi. — al-Siha
Disediakan oleh Mohd Dziehan Mustapa
Ketua Penolong Pengarah Kanan
Program Perkhidmatan Farmasi KKM
Dari Farmasi Motivasi
Oleh Dr Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Pakar Motivasi
Tips penjagaan luka episiotomi terbuka
Secara ringkas boleh saya huraikan luka atau koyakkan bersalin terbahagi kepada 4 jenis:
Tahap 1 – Luka pada kulit ataupun luka sedikit pada lapisan dalam faraj
Tahap 2 – Luka melibatkan otot dalam, tetapi tidak melibatkan otot injap pada lubang dubur
Tahap 3 – Luka yang melibatkan koyakkan otot injap dubur (sama ada external atau internal sphincter)
Tahap 4 – Luka melibatkan koyakkan injap otot dubur dan bahagian dubur yang lebih dalam (anorectal mucosa)
Maka selepas bersalin, doktor atau jururawat akan menilai terlebih dahulu jenis luka. Bagi luka yang boleh dijahit, maka akan dijahit oleh jururawat sendiri. Cuma luka yang bermasalah atau agak kompleks akan dijahit oleh doktor. Koyakkan tahap 3 dan tahap 4 ini dikelaskan sebagai koyakan teruk kerana melibatkan lubang dubur. lubang dubur dianggap kotor dengan pelbagai bakteria. Jika tidak dijahit dengan berhati-hati kuman boleh tersebar pada luka menyebabkan luka episiotomi lambat sembuh akibat jangkitan kuman.
Tips penjagaan untuk mengelakkan luka episiotomi mengalami jangkitan/terbuka:
1. Memastikan kawasan perineum bersih kerana darah nifas serta air kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka.
Pastikan luka dibersihkan samaada dengan air suam, atau dengan ubat sapu yang telah dibekalkan oleh pihak hospital.
Elakkan menyapu benda lain seperti serbuk manjakani, minyak gamat atau serbuk kunyit pada perineum kerana tidak diketahui tahap kebersihan bahan-bahan ini.
Sesetengah bahan boleh menyebabkan tindak balas terhadap perineum ( tissue reaction ) sekaligus melambatkan proses penyembuhan. Ada bahan yang boleh menyebabkan alergi.
2 . Elakkan dari masalah sembelit kerana sembelit akan memberikan tekanan di bahagian perineum semasa meneran dan ini akan menyebabkan luka terlerai atau terbuka.
Minum air yang mencukupi dan makan banyak makanan berserat tinggi seperti sayuran serta buah buahan bagi membantu pelancaran proses pembuangan najis.
Kalau masih mengalami sembelit, doktor akan memberikan ubat pelawas najis atau ubat pelembut najis untuk mengurangkan sembelit.
3 . Senaman lantai pelvik ataupun juga dikenali sebagai senaman kemutan (Kegel Exercise) boleh dilakukan secara rutin. Ia akan membantu dalam pelancaran darah di vagina selain akan membantu dalam proses penyembuhan luka.
4 .Perhatikan tentang tanda-tanda jangkitan kuman, seperti;
i) Kemerahan pada kulit atau tempat jahitan
ii) Bengkak pada luka episitomi – boleh disebabkan oleh darah beku yang terkumpul
iii) Amat sakit, lebih-lebih lagi ketika berjalan ataupun tidak boleh duduk sekalipun disebabkan sakit.
iv)Pengeluaran lendiran yang berbau
v) Demam
Segeralah ke hospital dan maklumkan kepada jururawat yang melawat di rumah.
* Luka boleh diperiksa dengan menggunakan cermin. Atau minta bantuan suami untuk melihat luka episiotomi
5. Pakai seluar dalam dari jenis kapas yang boleh menyerap peluh bagi mengelakkan kelembapan di perineum.
6. Tukar pad dengan kerap dan lap kering perineum setelah ke tandas.
7. Cuci perineum DARI DEPAN KE BELAKANG (perineum ke anus) bagi mengelakkan flora pada anus menjangkiti luka episiotomi.
8 . Elakkan dari mencangkung. Seeloknya gunakan tandas duduk bagi mengelakkan regangan pada luka episiotomi.
Dengan penjagaan yang teliti, luka episiotomi masih lagi berpotensi untuk terkena jangkitan dan boleh terbuka.
Jika luka terbuka setelah diperiksa oleh doktor atau jururawat rawatan akan diberikan mengikut tahap luka terbuka.
Antibiotik akan diberikan terlebih dahulu dan luka yang terbuka mungkin perlu dicuci dan dibersihkan dari masa ke masa. Kebiasaannya selepas seminggu dua, dan setelah antibiotik dihabiskan, luka episiotomi akan diperiksa semula.
Jika luka masih besar dan perlu dijahit semula, bius setempat akan diberikan dan luka akan dijahit semula. Jika luka sudah hamper sembuh sebahagiannya, dan hanya sedikit sahaja terbuka, misalnya pada bahagian kulit, luka tidak perlu dijahit semula.
Luka itu akan sembuh dan bercantum dengan sendirinya tanpa perlu dijahit. Cuma perlu penjagaan rapi dan luka perlu bersih senantiasa.
Jika sudah dijahit untuk kali kedua dan didapati luka itu masih lagi terbuka – ada beberapa kemungkinan. Berlakunya jangkitan kuman yang baharu ataupun jangkitan kuman yang terdahulu masih belum habis dirawat. Bergantung kepada keadaan luka dan pemeriksaan doktor ketika itu, luka ini kadang-kadang perlu dijahit semula ataupun dibiarkan sembuh dengan sendirinya dengan pemantauan dari semasa ke semasa. — al-Siha
Oleh
Dr. Muhammad
Izzat Abdul RazakPegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan Bidan diiktiraf