Segelintir perokok percaya alat elektronik mampu hilangkan ketagihan
Oleh MOHD SHAH CHE AHMAD
Pernahkah anda terfikir untuk berhenti merokok? Jika pernah, anda tidak keseorangan sebaliknya kajian yang dijalankan mendapati tujuh dari 10 perokok menyatakan keinginan sama iaitu untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut.
Antara kaedah popular sering diperkatakan adalah dengan menggunakan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape.
Segelintir pihak percaya bahawa alat elektronik tersebut mampu menghilangkan ketagihan merokok kerana hanya mengandungi wap air dan pelbagai pilihan perisa seperti buah-buahan.
Kenyataan ini sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi orang ramai apabila semakin ramai mula beralih arah kepada rokok elektronik sebagai pengganti, selain dikatakan lebih menjimatkan berbanding rokok biasa.
IMPAK VAPE
Kesannya, bukan sahaja menjadi alternatif berhenti merokok, malah terdapat remaja termasuk dalam kalangan pelajar sekolah yang dikesan mula terjebak menghisap vape kerana terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang menggunakannya. Namun adakah benar vape merupakan alternatif berhenti merokok?
Mengulas kenyataan tersebut, Ketua Unit Respiratori, Jabatan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr Andrea Ban berkata, teori itu sama sekali tidak benar, malah lebih mendatangkan bahaya kepada pengguna.
Ini katanya kerana, selain mengandungi nikotin berbahaya yang menyebabkan ketagihan, vape mengandungi bahan seperti Propylene Glycol yang boleh memudaratkan pengguna untuk jangka masa panjang.
“Ramai yang beralih kepada rokok elektronik kerana dikatakan ingin berhenti merokok. Tetapi mereka tidak sedar bahawa rokok elektronik bukan sahaja tidak berjaya menghilangkan ketagihan malah lebih membawa kesan berbahaya seperti jangkitan penyakit Evali (e-Cigarette and Vaping Associated Lung Injuries).

“Ia boleh menyebabkan iritasi kepada mata, tekak dan saluran pernafasan, manakala kesan jangka masa panjang pula boleh mengakibatkan asma dan iritasi kepada sistem pernafasan seterusnya menyebabkan kanser paru-paru,” katanya ketika ditemui al-Siha di Hospital Canselor Tuanku Mukriz, baru-baru ini.
PUNCA PENYAKIT EVALI
Evali merupakan penyakit baharu yang muncul akibat tabiat penggunaan rokok elektronik berterusan. Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), sehingga Oktober lalu seramai 33 perokok dari 24 negeri di Amerika Syarikat (AS) maut akibat EVALI. Manakala jumlah pesakit yang sedang didiagnosis mencecah 1,299 pesakit dari 49 negeri di AS.
Dr Andrea berkata, individu yang ingin berhenti merokok dialu-alukan untuk mengikuti klinik berhenti merokok yang dijalankan di HCTM bagi mengetahui teknik yang betul meninggalkan tabiat tersebut.
DIKESAN TAHAP KRITIKAL
Sementara itu, Pakar Pulmonologi, Jabatan Perubatan HCTM, Dr Joo Chun Ian berkata, asap rokok atau vape bukan sahaja membahayakan diri pengguna, malah individu yang terhidu asap itu juga berpotensi diserang iritasi akibat rokok termasuk kanser paru-paru.

Lebih membimbangkan, kajian dilakukan, majoriti penghidap kanser paru-paru disahkan menghidap pesakit ini pada peringkat lanjutan iaitu pada tahap ketiga dan keempat.
“Ini termasuk golongan yang tidak merokok. Sering terdedah dengan asap rokok di sekeliling, termasuk pelbagai faktor lain seperti sejarah latar belakang keluarga, pemakanan harian dan berat badan tidak seimbang yang meningkatkan lagi risiko menghidap kanser paru-paru,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, diagnosis awal penting bertujuan meningkatkan keserasian rawatan bersesuaian dapat diberikan kepada pesakit. Selain itu, terapi penyembuhan pelbagai kaedah dan sokongan daripada ahli keluarga serta individu terdekat juga penting buat penghidap.
“Ramai pesakit sukar untuk menerima ketentuan ini, apatah lagi berdepan hakikat untuk menyesuaikan diri sebagai pesakit kanser. Ini tidak sepatutnya berlaku. Disahkan menghidap kanser bukan pengakhiran dalam kehidupan, sebaliknya pesakit perlu terima hakikat dan berusaha melawan kanser tersebut dengan mengikut nasihat doktor.
“Ramai dalam kalangan pesakit kanser mampu meneruskan hidup, malah ramai juga yang disahkan semakin stabil kerana berdisiplin dalam mematuhi rawatan-rawatan susulan ditetapkan, di samping pengambilan ubat dibekalkan oleh pihak hospital,” jelasnya. — al-Siha
ARTIKEL KHAS SEMPENA ‘BULAN KESEDARAN KANSER PARU-PARU’
Hairan muka bengkak-bengkak

Sering terdedah kepada asap rokok, dan dari hanya batuk biasa pada mulanya melarat ke batuk yang berpanjangan, Maimon kemudiannya disahkan menghidap kanser paru-paru.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, pada mulanya dia tidak menyangka menghidap penyakit yang mampu membunuh itu kerana menyangka hanya terdapat ketumbuhan pada paru-parunya.
“Hampir tiga bulan batuk berterusan. Lalu di bawa oleh anak untuk pemeriksaan di klinik kesihatan. Selepas melakukan X-ray, doktor mendapati ada dua bintik-bintik di paru-paru yang disangka ketumbuhan.
“Lama kelamaan, muka dan kaki mula bengkak, selera makan dan berat badan juga mula menyusut. Akhirnya anak membawa Maimon untuk menjalani pemeriksaan lanjut di sini (HCTM) dan disahkan menghidap kanser paru-paru tahap satu,” katanya yang berasal dari Melaka.
Tidak dinafikan terkejut dengan kenyataan itu, namun Maimon cuba redha dan menerima takdir daripada Allah SWT. Dia bagaimanapun bersyukur kerana dikurniakan anak yang sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk cekal menerima dugaan tersebut.
“Mak cik bertuah kerana anak-anak semua memberikan sokongan dan kekuatan. Sejak menjalani rawatan di sini, Alhamdulillah keadaan semakin stabil dan mak cik berterima kasih kepada jururawat dan pakar yang menjaga mak cik dengan baik sepanjang mendapatkan rawatan,” katanya. — al-Siha
Perlu sokongan keluarga, rakan

Sementara itu, bagi Shahizah Himdan yang menghidap kanser paru-paru tahap empat berkata, sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sangat membantu dalam memotivasikan dirinya untuk lebih cekal menghadapi ujian tersebut.
Shahizah yang juga menghidap sakit buah pinggang sama sekali tidak menyangka menghidap kanser paru-paru apatah lagi disahkan sudah berada di tahap empat.
“Tiada seorang pun dalam kalangan keluarga dan rakan saya yang merokok dan saya tidak pernah terdedah dengan asap rokok. Langsung tiada tanda-tanda saya menghidap kanser paru-paru.
“Sehinggalah saya mula batuk-batuk berterusan selama berminggu-minggu. Saya mula mengesan penyakit ini kerana rasa semput dan tidak dapat menghabiskan rawatan dialisis selama empat jam.
“Selepas melakukan imbasan X-Ray mendapati terdapat air dalam paru-paru saya. Saya dimasukkan ke dalam wad HCTM selama tiga minggu untuk menjalani rawatan lanjut, sehinggalah sekarang masih dalam pemantauan doktor,” katanya.
Syahizah turut menasihati orang ramai terutama perokok supaya cuba untuk berhenti merokok dan mengelakkan diri daripada terdedah dengan asap rokok kerana boleh memudaratkan.
“Jika sayang diri, keluarga dan rakan-rakan, berhentilah merokok kerana asap rokok adalah pembunuh senyap dan semua orang yang berada di sekeliling kita,” ujarnya. — al-Siha