Rakyat Malaysia perlu memerangi mitos, informasi tidak benar dan salah faham tentang penyakit kanser
Oleh Dr. Malwinder Singh Sandhu,
Pakar Perubatan Radioterapi dan Onkologi, Seri Kota Specialist Centre
Mitos 1: Bekas plastik dan pembungkus plastik boleh menyebabkan kanser
Meskipun plastik mengandungi banyak bahan kimia, namun ia selamat untuk digunakan. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes plastik yang dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro akan terdedah kepada haba berlebihan yang mungkin mengubah kualiti dan mencairkan plastik, sehingga menyebabkan bahan kimia dari bekas tersebut bercampur dengan makanan. Secara asasnya, plastik tersebut tidak berbahaya dan tidak menyebabkan kanser, cuma dalam situasi ini, individu mungkin mengalami keracunan kimia. Periksa dahulu label pada bekas plastik dan pastikan ia selamat digunakan untuk ketuhar gelombang mikro sebelum menggunakannya.
Mitos 2: Pesakit kanser tidak boleh mengambil makanan manis
Terdapat salah faham yang disebarkan, terutama dikalangan pesakit kanser itu sendiri yang menganggap gula punca kanser menjadi semakin teruk. Hakikatnya, semua sel dalam badan, termasuk sel kanser, memerlukan gula (glukosa) untuk tenaga. Mengurangkan pengambilan gula tidak akan melambatkan perkembangan kanser mahupun sebaliknya, malah pengambilan gula juga tidak mempercepatkan perkembangan penyakit.
Setakat ini, tidak ada bukti secara saintifik yang menunjukkan sel-sel tumbuh dan berkembang selepas metabolisme mengandungi banyak kandungan glukosa.
Antara mitos lain yang disebarkan adalah gula tiruan kononnya boleh menyebabkan kanser. Pindaan Aditif Makanan untuk makanan, ubat dan juga akta kosmetik yang dikeluarkan oleh Kongres Amerika Syarikat pada tahun 1958, menetapkan bahawa FDA perlu meluluskan aditif makanan, termasuk gula tiruan, sebelum dijual kepada umum. Agensi tersebut memutuskan bahawa tiada bukti saintifik yang dapat menyokong bahawa gula atau pemanis tiruan boleh menyebabkan kanser.
Namun, pengambilan jumlah gula yang berlebihan boleh meningkatkan risiko obesiti, sekaligus meningkatkan risiko individu mendapat kanser payudara, kanser usus (kolon), kanser pankreas, dan juga kanser endometrium.
Mitos 3: Kanser boleh berjangkit
Saya pernah memberitahu pesakit, saya mungkin telah lama meninggal dunia kerana sentiasa merawat pesakit yang menghidap kanser.
Individu tidak mudah untuk mendapat kanser. Kanser tidak berada dalam udara, dan ia juga tidak berjangkit meskipun melalui cecair dalam badan. Jadi tidak perlu menjauhkan diri daripada mereka yang menghidap kanser. Malah, menyentuh dan meluangkan masa bersama penghidap kanser juga selamat. Sokongan fizikal dan emosi dari kita amat diperlukan untuk mereka menempuh atau melalui fasa sukar tersebut.
Meskipun kanser tidak berjangkit, namun harus diingatkan bahawa beberapa virus boleh menyebabkan kanser misalnya:
Human papillomavirus (HPV) — virus yang berjangkit melalui hubungan seks — boleh menyebabkan kanser serviks dan kanser oropharyngeal
Hepatitis B atau C — virus yang berjangkit melalui hubungan seks atau perkongsian jarum, melalui cecair dalam badan, yang boleh menyebabkan kanser hati
Mitos 4: Kimoterapi membahayakan ahli keluarga yang lain
Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, sekiranya kenyataan ini tepat, mungkin saya telah meninggal lebih awal memandangkan 80 peratus hingga 90 peratus pesakit menjalankan kimoterapi dan saya bekerja bersama mereka bermula dari pukul lapan pagi sehingga ke pukul lima petang setiap hari (waktu bekerja).
Kimoterapi tidak akan membahayakan ahli keluarga meskipun pesakit terlalu rapat, berkongsi katil, atau menggunakan peralatan makanan yang sama.
Langkah berjaga-jaga yang yang perlu diambil adalah mengambil kira tentang penjagaan kebersihan asas, contohnya memakai sarung tangan ketika membersihkan cecair dari badan pesakit seperti muntah, air kencing atau najis dan jika cadar kotor, hendaklah dicuci secara berasingan.
Mitos 5 : Anak akan menghidap kanser sekiranya kedua ibu bapa mempunyai kanser
Sesetengah kanser dikaitkan dengan kecenderungan genetik tetapi ini tidak bermakna bahawa seorang anak secara automatik akan menghidap kanser sekiranya kedua-dua ibu bapa mempunyai kanser. Kajian menunjukkan hanya lima hingga 10 peratus sahaja kanser adalah jenis keturunan. Ini termasuk kanser payudara, kanser ovary dan kanser kolorektal dan beberapa jenis kanser lain yang diperoleh secara genetik.
Sekiranya kedua ibu atau bapa mempunyai mana-mana kanser tersebut, tidak mustahil kanser tersebut turut dihidapi oleh anak. Ini kerana berlakunya kerosakan pada gen (unit warisan) atau dikenali sebagai mutasi gen.
Mitos 6: Ada ubat untuk kanser tetapi dirahsiakan oleh pengeluar ubat
Ini adalah tuduhan yang tidak adil dan tidak berasas. Jika kenyataan ini benar, mengapa masih ada individu yang berkaitan dengan syarikat seumpama ini meninggal disebabkan kanser? Sudah pasti jutawan seperti Steve Jobs dan juga Walt Disney melaburkan wang masing-masing untuk mengubati kanser yang dihidapi mereka. Syarikat pengeluar ubat mempunyai etika dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan, dan mereka akan mengemukakan penemuan dalam jurnal untuk membolehkan mereka memasarkan ubatan tersebut.
Mitos 7: Superfoods mencegah kanser
Superfood mungkin telah disalah erti. Tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa mana-mana makanan dapat mencegah kanser. Makanan seperti beri biru, beetroot, brokoli, dan bawang putih dikatakan mempunyai kandungan bahan yang dapat mencegah kanser. Badan kita dan biologi molekul kanser adalah rumit, untuk menyatakan bahawa mana-mana makanan boleh menyebabkan kanser agak melampau.
Namun, kita tetap perlu mengambil berat tentang apa yang kita makan. Mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dengan pengambilan buah-buahan dan juga sayur-sayuran dan melakukan senaman adalah amat digalakkan. Kaedah paling baik untuk mengurangkan risiko kanser adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat, tidak merokok, kekal aktif, mengekalkan berat badan yang idea dan mengurangkan mengambilan alkohol.
Mitos 8: Rawatan kanser membunuh dari menyembuhkan
Rawatan kanser seperti kimoterapi, imunoterapi, radioterapi, pembedahan dan sebagainya dikatakan tidak bermakna dan kesannya boleh memudaratkan. Sebenarnya kaedah rawatan yang disebutkan bertindak membunuh sel kansel tetapi ada sel normal yang turut terkesan. Ini yang menyebabkan individu mengalami kesan sampingan seperti loya, muntah, cirit birit, keguguran rambut dan jangkitan. Bagi kanser di tahap empat, kadangkala peluang untuk sembuh adalah tipis. Untuk penghidap kanser tahap empat, rawatan lebih kepada paliatif, dimana melegakan simptom, dan juga membantu untuk hidup lebih lama.
Dengan kemajuan dalam sektor perubatan, terdapat peningkatan dari keberkesanan dan kejayaan rawatan. Misalnya, lebih dari 96 peratus lelaki pulih dari kanser testikel, berbanding 70 peratus dicatatkan pada tahun 1970an dengan adanya kimoterapi. Tiga dari empat kanak-kanak sembuh dari kanser, berbanding kadar yang dicatatkan pada lewat 1960an. Kebanyakan mereka masih hidup sehingga ke hari ini dengan kaedah rawatan kimoterapi. — al-Siha
KES HIV I AIDS 2018
• 3,293 Kes
• 10 kes bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia
• 47 kanak-kanak berumur bawah 18 tahun menghidap HIV I AIDS
• HIV – Sejenis virus yang akan memasuki atau menyerang badan seseorang dan menyebabkan AIDS
• Ini boleh mengakibatkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman dan kanser
• AIDS – Peringkat terakhir selepas jangkitan HIV yang memusnahkan sistem ketahan badan
• Program Rawatan Terapi Gantian Metadon oleh kerajaan bertujuan mengurangkan kemudaratan akibat aktiviti pertukaran jarum yang menyumbang kepada HIV I AIDS
• Kanak-kanak yang dijangkiti virus HIV diberikan rawatan antiretroviral untuk memastikan bilangan virus HIV dalam darah berada pada paras paling rendah dan mengurangkan risiko jangkitan kuman lain
• Setiap ibu hamil perlu menjalani ujian saringan HIV I AIDS agar rawatan pencegahan dapat dibuat bagi memastikan bayi tidak dijangkiti virus