PELBAGAI RAGAM… Kanak-kanak lebih kreatif sekiranya sering didedahkan dengan permainan tidak berstruktur.
Oleh Nurul Fadhlin Che Ismail
Permainan secara tidak berstruktur, bermain sendiri atau juga dikenali sebagai bermain secara bebas merupakan satu teknik permainan bagi kanak-kanak tanpa adanya arahan atau peraturan permainan, bahkan mereka bebas melakukan sebarang aktiviti menurut kemahuan sendiri.
Berbanding permainan berstruktur, permainan tidak berstruktur ini dilakukan oleh kanak-kanak itu sendiri dimana mereka akan bermain secara kreatif dan sentiasa memperbaharui corak permainan masing-masing.
Mereka juga tidak hanya bermain sendirian sebaliknya boleh melakukannya bersama rakan-rakan sebaya, adik-beradik bahkan ibu bapa juga boleh turut serta dalam permainan tersebut.
Menurut Pengusaha Taska Fantasia Alam, Azlina Johari, bermain bermaksud tidak berstruktur. Tidak berstruktur adalah tanpa arahan (dewasa), tanpa perancangan, tanpa syarat atau undang-undang, dipilih sendiri dan keinginan sendiri (self direct).
Jika telah ditentukan, mempunyai arahan dan langkah-langkah ia adalah aktiviti bukannya bermain. Bermain adalah tidak berstruktur dan berstruktur adalah aktiviti.
“Permainan tidak berstruktur boleh membantu meningkatkan perkembangan kognitif, fizikal, sosial dan emosi. Ia juga secara khusus dapat membantu meningkatkan kreativiti dan imaginasi, kebolehan menyelesaikan masalah serta kemahiran sosial.
PENINGKATAN KOGNITIF KANAK-KANAK
“Kreativiti dan imaginasi terbentuk disebabkan oleh ketiadaan peraturan tetap yang perlu diikuti membolehkan kanak-kanak membina garis panduan sendiri. Kemahiran mencipta dan menggunakan imaginasi ini adalah penting untuk membantu perkembangan kognitif mereka.
“Kebolehan menyelesaikan masalah pula terbentuk apabila kanak-kanak bermain bersama-sama dalam menyelesaikan masalah seperti membuat giliran dalam permainan dan mewujudkan peraturan permainan yang lain.
“Manakala, bagi kemahiran sosial pula terbentuk melalui kerja berpasukan. Kanak-kanak bergilir-gilir belajar mendengar dan berkongsi, mengembangkan imaginasi khayalan dan membuat keputusan bersama.
Tambah Azlina, kajian dari Texas Christian University oleh Dr. Karyn menjelaskan pergerakan aktif yang melibatkan permainan tidak berstruktur hanya memerlukan 12 pengulangan sahaja untuk menghubungkan satu synapse. Manakala, bagi aktiviti berstruktur pula memerlukan sehingga 400 pengulangan bagi menghubungkan satu synapse.
Aktiviti berstruktur hanya akan menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung untuk mendengar arahan sahaja. Malah, mereka dipaksa untuk menurut setiap peraturan di mana secara hakikatnya, kanak-kanak tidak boleh mendengar arahan dan perintah secara berterusan kerana ia akan menyebabkan mereka tidak mampu bertindak secara kreatif.
“Aktiviti berstruktur hanya akan menyebabkan kanak-kanak kurang peka serta masa fokus yang pendek. Namun, permainan tidak berstruktur pula akan menghasilkan kanak-kanak yang lebih pantas bertindak dan peka terhadap persekitarannya.
PENDEDAHAN AWAL
Jelas Azlina, pendedahan awal permainan tidak berstruktur sangat mudah. Ibu bapa atau penjaga perlu mengurangkan penggunaan ‘jangan’, ‘no’ dan ‘tidak boleh’. Ini kerana, larangan itu hanya menyebabkan kanak-kanak hilang minat untuk bermain sekaligus merencatkan perkembangan mereka.
“Ibu bapa perlu beri peluang untuk kanak-kanak bermain dan bereksplorasi. Jika perlu menyediakan kawasan bermain, hal keselamatan tetap dititikberatkan namun dalam masa yang sama sedikit risiko dan cabaran perlu untuk anak-anak supaya mereka belajar tindakan dan kesan (cause and effect).
“Paling penting, jauhkan sebarang gajet serta televisyen bagi menggalakkan kanak-kanak meneroka secara maksimum. Malah dengan cara ini juga ibu bapa lebih mudah untuk mengawal mereka,” jelasnya. —al-Siha
Kinestetik bukan degil
Kanak-kanak memiliki kemahiran pembelajaran yang berbeza bagi setiap individu. Terdapat tiga cara pembelajaran VAK iaitu Visual, Auditori dan Kinestetik. Setiap ibu bapa digalakkan mengetahui cara pembelajaran anak masing-masing agar pendekatan yang lebih sesuai dapat diberikan kepada mereka.
Jelas Azlina, auditori merupakan teknik pengajaran tradisional dimana guru menyampaikan maklumat dan pelajar mengingati dari penyampaian berkenaan. Nada suara dan bahasa tubuh membantu pelajar auditori mengekalkan minat dan perhatian. Pembelajaran auditori akan berjaya sekiranya arahan diberi secara lantang.
“Kanak-kanak auditori memahami sesuatu perkara hanya melalui kata-kata. Sebagai contoh, sekiranya larangan atau arahan diberikan kepada kanak-kanak ini, mereka akan mudah ikut, faham dan ingat. Terdapat 30 peratus sahaja kumpulan auditori di dunia.
Bagi visual pula, individu dari kelompok ini lebih mudah mengingat menggunakan gambar rajah, carta, gambar, filem dan arahan bertulis. Teknik pembelajaran visual adalah paling ramai di dunia. Dianggarkan kira-kira 65 peratus daripada penduduk dunia adalah daripada kelompok visual.
Manakala kinestetik pula merupakan teknik pembelajaran yang menggunakan kaedah sentuhan, merasa dan memegang sesuatu.
Tambah Azlina, kanak-kanak kinestetik biasanya tidak boleh duduk diam kerana otak mereka sering bergerak dan lebih mudah menyerap sesuatu informasi melalui pergerakan.
“Tidak ramai golongan kinestetik di dunia. Dianggarkan hanya kira-kira lima peratus sahaja orang di dunia yang tergolong dalam golongan kinestetik.
“Kanak-kanak kinestetik merupakan golongan yang paling kurang dihargai dan sering dilabelkan sebagai degil kerana tidak putus asa untuk mencuba sesuatu sehingga berjaya. Malah, mereka sukar duduk diam dan mendengar arahan. Meskipun begitu, golongan kinestetik merupakan kumpulan cepat matang dan lebih berdikari kerana sikap ingin tahu lebih menguasai diri,” katanya. — al-Siha
al-Siha | ogos, 2019