Oleh Nurul Fadhlin Che Ismail
Kematian orang asli suku Batek, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang dilaporkan dijangkiti wabak demam campak baru-baru ini seolah-olah memberikan jawapan kepada golongan anti-vaksin bahawa kelemahan program imunisasi boleh memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada individu bahkan kepada seluruh penduduk di kawasan berisiko.
Berdasarkan status yang dimuatnaik ke laman twitter @KKMPutrajaya, faktor liputan imunisasi MMR yang rendah iaitu kira-kira 61.5 peratus bagi dos pertama dan 30 peratus bagi dos kedua menjadi asbab berlakunya sebaran wabak ini.
Walau bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat, meskipun sentiasa didedahkan tentang suntikan vaksin masih menolak sekeras-kerasnya suntikan ini. Mengapa?
Al-Siha berpeluang menemui isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dalam satu sesi temubual khas baru-baru ini, dimana beliau menjelaskan tentang perbezaan penerimaan masyarakat dahulu dan kini terhadap suntikan vaksin di Malaysia.
“Imunisasi adalah satu proses dimana suntikan vaksin diberikan bertujuan untuk mencegah penyakit terhadap bayi sekaligus mengekang serangan penyakit dalam kalangan mereka sama ada penyakit yang membunuh mahupun penyakit yang menyerang kanak-kanak ketika membesar.
“Suntikan seperti Bacillus Calmette Guerin (BCG), anti- polio drug empidemic dan sebagainya diberikan bagi mengelakkan difteria, whooping cough, tetanus, demam campak dan sebagainya. Oleh itu, vaksin adalah suntikan penting yang perlu diambil untuk mencegah serangan penyakit.
Tambah beliau, walaupun tujuan dan kelebihan suntikan sangat jelas, namun penerimaan terhadap vaksin hari ini sangat jauh berbeza berbanding ketika zaman beliau berkhidmat sebagai doktor sekitar tahun 50-an, 60-an dan 70-an dahulu.
“Pada zaman tersebut majoriti ibu bapa mendengar dan mengikut sahaja nasihat daripada doktor dengan sangat baik. Mereka tahu apa yang kami buat pastinya untuk kebaikan mereka dan anak-anak terutama dalam menangani gejala penyakit yang mungkin boleh mengancam nyawa jika tidak dititikberatkan.
“Pernah satu ketika, saat saya bekerja sebagai doktor di kawasan pedalaman di Kedah, kami dikejutkan dengan penularan wabak difteria yang menjangkiti kanak-kanak dari satu penempatan ke penempatan yang lain. Inilah yang dibimbangi, kita tidak mahu peristiwa seumpama ini berulang kembali.
Jelas Tun Dr. Siti Hasmah, terlalu banyak usaha yang diambil kerajaan untuk menggalakkan ibu bapa agar membawa anak masing-masing mendapatkan suntikan vaksin.
“Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa menyeru ibu bapa agar membawa anak masing-masing ke klinik berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin, apatah lagi bekalan vaksin ini diberikan secara percuma. Ambil suntikan vaksin agar dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Sekarang terlalu banyak pengaruh negatif disebarkan terutamanya di media sosial dan juga dikalangan anti-vaksin,”jelasnya.
SITUASI PENERIMAAN VAKSIN
“Saya sangat sedih dengan situasi penolakan vaksin yang dihadapi sekarang, apatah lagi dengan insiden yang menimpa ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, dipercayai meninggal dunia akibat jangkitan difteria di Johor, serta kes-kes yang melibatkan demam campak dan penyakit-penyakit lain yang menjangkiti anak-anak disebabkan penolakan vaksin oleh ibu bapa.
“Ketika saya bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL), terlalu banyak kes difteria dicatatkan, boleh dikatakan setiap hari ada ibu bapa membawa anak-anak ke bahagian kecemasan. Difteria sebenarnya mudah berlaku dikawasan yang tidak menitikberatkan tentang kebersihan, dan mempunyai jumlah penduduk yang ramai (kepadatan penduduk) dimana ramai kanak-kanak tinggal bersama-sama dan bermain bersama seperti di kawasan penempatan setinggan dan seumpama itu.
“Pada zaman tersebut, kami bekerja keras sedaya upaya agar wabak seperti difteria mahupun demam campak tidak lagi menjangkiti kanak-kanak, selain menjalankan program-program kesihatan berkaitan bagi menurunkan kadar wabak penyakit.
“Saya sedih apabila hari ini masih ada segelintir ibu bapa yang seakan membenarkan penyakit dan wabak ini datang semula. Sepatutnya generasi sekarang harus diberikan kehidupan yang baik, sepertimana kehidupan yang dirasai ibu bapa itu sendiri, dan ini tidak adil bagi mereka.
“Ibu bapa sepatutnya lebih komited kearah usaha menggalakkan suntikan vaksin,”jelasnya.
ALASAN PENOLAKAN VAKSIN
Dalam pada itu, Tun Dr. Siti Hasmah turut memberikan pandangan beliau berhubung penolakan vaksinasi meskipun majoriti ibu bapa berpendidikan tinggi dan mampu membuat penilaian yang lebih baik.
“Ramai ibu bapa mendapatkan maklumat daripada internet tentang informasi yang dihebahkan oleh anti-vaksin dan juga isu-isu yang berkaitan perubatan lain.
“Walau bagaimanapun, terdapat dua aspek utama yang menjadi penyebab dalam penolakan ini. Pertama, anti-vaksin cuba memainkan isu keagamaan berkaitan haram dan halal vaksin itu sendiri. Namun, perkara ini sudah dijelaskan secara terperinci oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Manakala yang kedua pula adalah dari sudut komersial dimana banyak memperkenalkan alternatif tertentu, kononnya mampu mencegah dan merawat penyakit tanpa perlukan sebarang suntikan vaksin.
Katanya, terlalu banyak rawatan alternatif diperkenalkan, malah kebanyakkannya meragukan orang ramai.
“Setengah pihak menyatakan bahawa alternatif A lebih berkesan, namun ada antara mereka menyatakan alternatif B lebih berkesan, dan berapa banyak alternatif yang perlu dicuba sebenarnya?,” soal beliau.
Namun jelasnya, setakat ini tiada bukti kukuh yang menjamin keberkesanan produk-produk tersebut. Berbanding suntikan vaksin, ia terbukti lebih berkesan kerana telah digunapakai sejak berabad tahun lamanya.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua ibu bapa agar mengambil suntikan vaksin untuk anak masing-masing sebagaimana yang dijalani saat ibu bapa itu masih kecil, jangan rampas kesihatan yang sepatutnya di kecapi anak-anak.
Tun Dr. Siti Hasmah turut menegaskan supaya orang ramai tidak mudah mengikut fakta-fakta negatif dari sumber yang meragukan.
“Mereka perlu fikirkan tentang masa depan anak-anak agar mereka juga mampu hidup sihat sebagaimana kanak-kanak yang lain. Apatah lagi vaksin ini terbukti berkesan secara klinikal dan selamat, serta telah digunakan sejak sekian lama.
Beliau turut menyentuh tentang kes polio, antara jangkitan penyakit yang membimbangkan dan perlu di cegah sehabis baik.
“Kes jangkitan polio yang terakhir dilaporkan di Alor Setar beberapa tahun yang lalu. Adakah ibu bapa yang masih tidak membawa anak-anak mendapatkan suntikan vaksin ini mahu menunggu anak-anak mendapat simptom polio terlebih dahulu sebelum membawa mereka mengambil suntikan vaksin? Sedarlah bahawa saat itu kalian telah terlambat,” jelas Tun Dr. Siti Hasmah.
“Jangan biarkan anak-anak menderita, bagi mereka peluang untuk hidup secara sihat. Ini perkara yang ingin saya tekankan kepada ibu bapa diluar sana, supaya tidak mudah goyah dengan cerita negatif. Temui doktor dan tanya perkara berkaitan, kerana tiada apa yang kurang tentang vaksin, malah menjadi keperluan dan menyelamatkan nyawa.
“Pastikan anak-anak mendapat suntikan vaksin,” jelas Tun Dr. Siti Hasmah.
KESIHATAN MENTAL
Sementara itu, Tun Dr. Siti Hasmah berkongsi bahawa kesihatan mental turut menjadi isu yang membebani orang ramai.
“Sikap segelintir ibu bapa yang bertindak memaksa anak-anak agar mencapai sesuatu diluar kemampuan, budaya membandingkan anak masing-masing bukan sahaja boleh memberi tekanan kepada anak-anak bahkan kepada ibu bapa itu sendiri.
“Bagi saya, pasti ada cara untuk mengatasi tekanan, lakukan sesuatu yang boleh membuatkan agar kita lupa dengan tekanan yang dihadapi. Contohnya muzik, tarian, meluangkan masa bersama keluarga, dan bagi saya pula, tekanan diatasi dengan bermain peralatan muzik, atau meluangkan masa bersama seseorang dan sebagainya.
PENJAGAAN KESIHATAN DI MALAYSIA
“Sistem kesihatan di Malaysia sebenarnya telah mendapat pujian dari negara luar. Malah, Malaysia turut tersenarai sebagai negara keempat terbaik antara negara di seluruh dunia dalam aspek penjagaan kesihatan.
“Usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan ibu mengandung dari semasa ke semasa sebelum bersalin, menempatkan jururawat yang bertugas dari rumah ke rumah untuk pemeriksaan dan penjagaan kesihatan ibu-ibu selepas bersalin dan juga memantau kesihatan bayi selepas dilahirkan seperti program imunisasi dan sebagainya.
“Apa yang membimbangkan, ada segelintir masyarakat yang jatuh sakit, memilih untuk mendapatkan maklumat atas talian terlebih dahulu dan tidak terus menemui doktor sebagaimana sepatutnya.
“Malaysia juga sebuah negara yang bebas dari malaria,” jelasnya. — al-Siha

Tun Dr. Siti Hasmah mengakui perbezaan penerimaan vaksin dulu dan kini.
Ibu bapa berperanan penting dalam memastikan anak-anak mendapat suntikan vaksin Saya menyeru ibu bapa agar mendapatkan suntikan vaksin untuk anak masing-masing.” – Tun Dr. Siti Hasmah

Isteri kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Dr. Siti Hasmah ini dijadikan inspirasi dan ikon wanita serta ibu yang harus dicontohi.