Cadangan lima hari cuti sakit tanpa rekod bagi membantu pekerja yang berdepan isu kesihatan mental
Setiap kali jatuh sakit, sama ada demam, selesema, terkena jangkitan virus atau cirit-birit, pesakit biasanya akan menemui doktor untuk mendapatkan rawatan. Tetapi, jika mereka didapati memerlukan rehat yang cukup untuk sembuh, doktor akan memberikan sijil cuti sakit (medical certificate), sama ada sehari atau dua hari khususnya kepada mereka yang tidak dapat melakukan tugas rasmi seperti bekerja.
Bagaimana pula dengan individu yang mengalami tekanan emosi berpunca dari tempat kerja? Tidak ada semangat untuk bekerja atau ke tempat kerja? Tertekan dengan majikan atau ketua jabatan? Tertekan kerana terlalu terbeban dengan tugasan yang diberikan dan benar-benar di luar kemampuan? Bolehkah individu ini menemui doktor dan mendapatkan pengecualian bekerja seperti sijil cuti sakit atau tempoh rehat?
AKTA KERJA 1955
Rata-rata pekerja di Malaysia tidak tahu tentang kewujudan Akta Kerja 1955 (Employment Act 1955). Akta ini telah digubal oleh kerajaan untuk melindungi dan menjaga kebajikan pekerja di Malaysia dari ditindas oleh majikan.
Pekerja di Malaysia berhak mendapat satu hari berehat dalam seminggu dan mereka perlu dibayar pampasan semula jika diarah untuk bekerja pada waktu tersebut. Selain itu, pekerja di Malaysia juga berhak mendapat cuti sebanyak lapan hari bagi yang bekerja kurang dari dua tahun, 12 hari bagi yang bekerja lebih dari dua tahun dan kurang dari lima tahun dan 16 hari bagi yang bekerja lebih dari lima tahun.
Malah, pekerja di Malaysia juga berhak mendapatkan cuti sakit sebanyak 14 hari bagi yang bekerja kurang dari dua tahun, 18 hari bagi yang bekerja lebih dari dua tahun dan kurang dari lima tahun dan 22 hari bagi yang bekerja lebih dari lima tahun.
Tetapi jika pekerja diarah untuk bekerja, mereka sepatutnya dibayar dan layak memohon cuti ganti jika mereka terpaksa bekerja pada hari tersebut. Sementara itu, pekerja wanita pula berhak mendapat cuti bersalin tidak kurang dari 60 hari dan juga gaji bulanan.
SIJIL CUTI SAKIT
Orang ramai juga perlu faham bahawa sijil cuti sakit hanya boleh dikeluarkan oleh doktor yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council,MMC) dan hanya diberikan kepada pesakit yang menghidap penyakit dan tidak mampu meneruskan apa-apa urusan rasmi seperti menjalankan tanggungjawabnya sebagai pekerja sahaja.
Bagaimana pula dengan pekerja yang mengalami masalah kesihatan mental? Adakah mereka berhak mendapat sijil cuti sakit? Setakat ini, setiap masalah melibatkan kesihatan mental tidak akan diberikan sijil cuti sakit. Kenapa?
Bagi sesetengah pegawai perubatan yang tidak sedar akan masalah kesihatan mental pastinya menganggap pesakit yang datang tanpa apa-apa penyakit tetapi mengadu domba atau memburuk-burukkan tentang pekerjaan mereka sebagai satu isu diluar bidang perubatan. Situasi ini mungkin berlaku kerana mereka gagal untuk memahami perasaan sebenar pekerja tersebut. Walhal, keadaan ini boleh berlaku disebabkan oleh persekitaran tempat kerja, tekanan kerja lebih masa atau terlalu banyak tugasan.
Tetapi, keadaan ini jika diabaikan atau tidak dipulihkan pasti akan membawa kepada tekanan melampau atau burnout, yang boleh membawa kepada kemurungan dan juga kebimbangan.
Namun, sekiranya pegawai perubatan yang ditemui adalah seorang yang arif tentang isu-isu melibatkan kesejahteraan kesihatan mental, pastinya akan ada pula majikan yang tidak dapat menerima tekanan di tempat kerja sebagai sebab mendapatkan sijil cuti sakit.
Kebanyakkan majikan tidak nampak bahawa kesihatan mental di kalangan pekerja sebagai satu perkara yang serius terutama dalam kemampuan atau membawa syarikat untuk terus bertahan lebih lama.
HARI MENDAPAT CUTI HERO
Tidak mudah untuk mengaku sebagai individu atau pekerja yang mengalami masalah kesihatan mental atau mengalami masalah mental kerana stigma masyarakat yang menganggap kesihatan mental dan pesakit mental itu sama. Orang ramai seolah-olah menghukum, dan memulaukan mereka yang berdepan situasi ini menyebabkan golongan ini rasa rendah diri, enggan meluahkan dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain tentang apa yang sedang di rasai mereka.
Setiap daripada mereka pastinya tidak mahu meletakkan diri masing-masing dalam situasi yang lebih buruk. al-Siha memahami situasi tersebut dan mengambil kesempatan ini untuk mengajak majikan agar sama-sama mengambil berat tentang permasalahan ini.
CUTI HERO
Apa pandangan majikan dan pekerja sekiranya Malaysia melaksanakan lima hari cuti tanpa rekod (Cuti Hero), cuti yang termasuk dalam bilangan cuti sakit yang dibenarkan kepada pekerja sebelum ini tetapi tanpa perlu menyerahkan sijil cuti sakit atau dokumen sokongan? Bagaimana pula jika cuti hero yang di minta hanya menerusi satu panggilan telefon?
“Saya mengalami masalah kesihatan mental dan tidak dapat ke tempat kerja. Tekanan yang saya alami terlalu teruk, dan saya rasa tidak produktif jika tetap diminta hadir ke tempat kerja sekarang”?
Bagaimana pula jika majikan menyediakan tempat khas untuk setiap pekerja supaya mereka dapat berehat seketika dan kembalikan tenaga semula? Sukar untuk mengaku bahawa kita berdepan masalah, ayuh jadi seorang hero dan berehat seketika dari kerja yang memberi dan menambah tekanan. —al-Siha
6 LANGKAH MUDAH KURANGKAN TEKANAN DI TEMPAT KERJA
- Peruntukan masa 10 minit sebagai masa rehat dan tidak melakukan apa-apa
- Luangkan masa melayari media sosial sebagai ganjaran
- Berjalan ke sudut atau tempat yang anda gemari
- Tinggalkan telefon bimbit dalam tempoh sejam atau dua jam
- Basuh muka atau lembapkan muka dengan air atau kain lembap
- Hubungi seseorang yang boleh buat anda ketawa
Sosial media Ambil masa sendiri Bergaul bersama kenalan Luangkan masa di tempat kegemaran Basuh muka dan bersihkan diri