Jurulatih atau pakar kecergasan peribadi sememangnya individu yang boleh membantu dan memudahkan lagi seseorang mendapat tubuh badan ideal atau diidamkan.
Menurut Pensyarah Kesihatan dan Kecergasan, Universiti Selangor (UNISEL), Wan Mohd Hakim Wan Ismail, memilih pakar kecergasan yang tidak bertauliah sebenarnya mempunyai impak negatif selain boleh mengakibatkan kecederaan jangka pendek dan panjang.
“Jurulatih diibaratkan seperti seorang doktor yang bertanggungjawab merawat, membimbing, menasihati dan memantau segala perkembangan mengenai mental dan fizikal,” katanya.
Tambah beliau, mereka tidak hanya menjadi pendidik yang memastikan individu yang di latih mempunyai kecekalan bahkan menitikberat tentang motivasi agar kekal bersemangat dan berada di landasan yang betul termasuklah dari segi pemakanan, fisioterapi, psikologi dan kejurulatihan.
“Kebanyakan gimnasium ternama menyediakan jurulatih mengikut jenis sukan tertentu. Masing-masing mempunyai kepakaran mereka sendiri seperti sukan rugby, olahraga, kecergasan dan rehabilitasi,” jelasnya.
Jurulatih persendirian, tidak terikat oleh mana-mana gimnasium malah lebih murah bayarannya dan lebih fleksibel dari segi masa dan juga tempat latihan.
Tips Memilih Jurulatih :
1. Mempunyai sijil dan kelulusan kecergasan
Pakar kecergasan hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya sijil atau kelulusan dalam bidang kecergasan. Pastikan mereka telah diberi hak untuk melatih anda dari badan-badan yang bertanggungjawab seperti sijil American Council on Exercise (ACE), National Academy of Sport Medicine ( NASM), sijil kejurulatihan tahap 1 hingga 3, Certificate Strength and Conditioning Specilist (CSCS) dan banyak lagi.
Bagi pakar yang berlatar belakang diploma, ijazah sarjana muda , ijazah serta PHD dalam bidang sains sukan dan perubatan merupakan satu kelebihan bagi anda yang memilih mereka.
Anda berhak memilih mereka yang pakar kerana tanggungjawab telah diletakkan kepada mereka.
2. Motivasi
Pilih mereka yang serasi, tahu memotivasikan anda. Mereka sepatutnya membantu dan menyenangkan diri anda bukan melemahkaan. Pastikan mereka mudah berkomunikasi.
3.Kondisi kesihatan
Mungkin anda mempunyai diabetis, sakit jantung, masalah sendi atau masalah kesihatan yang lain.
Pakar kecergasan sepatutnya tahu bagaimana untuk mengubah jadual dan bentuk latihan mengikut keupayaan anda. Ianya bukan sahaja untuk melatih anda malah merawat sebagai seorang fisioterapi sukan.