Bagai tidak boleh tidak, setiap kali ada misi kemanusiaan, penyanyi, Heliza Helmi mesti turun padang mendekati mangsa-mangsa bencana alam, mahupun negara bergolak bagi menghulurkan bantuan
Oleh Nurul Fadhlin Che Ismail
Masih aktif dalam bidang nyanyian, namun Heliza, bekas pelajar Akademi Fantasia kelima ini mengakui tidak senang duduk jika tidak terlibat dengan aktivis kemanusiaan baik di dalam mahupun diluar negara.
“Jika lama sangat tak turun padang saya jadi terlalu rindu untuk menemui mangsa-mangsa. Mana tidaknya, saat kami tiba untuk menghulurkan bantuan, dapat dilihat senyuman lebar terukir di wajah mereka, dan kegembiraan mereka membahagiakan hati saya,” katanya.
“Saya suka berkongsi suka-duka bersama mereka kerana banyak motivasi yang boleh dikutip daripadanya. Itulah yang saya bawa balik untuk disampaikan kembali kepada orang lain. Perkara itu juga memberi semangat kepada saya untuk terus membantu dan mencari dana untuk mereka.
Terlibat misi bantuan sejak 2010
Hakikatnya, Heliza sudah terlibat dengan misi kemusiaan hampir 10 tahun bermula sejak menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah pada tahun 2010. Pada ketika itu, Heliza terlibat dengan misi bantuan ke Kemboja bersama pelajar-pelajar Terengganu. Tidak cukup dengan itu, Heliza turut terlibat dalam beberapa aktivis turun ke peringkat negeri membantu golongan yang memerlukan.
Pada tahun 2012, berita tentang Gaza, Palestin dibedil dan ditindas secara besar-besaran oleh puak Israel sampai ke telinga rakyat Malaysia. Heliza mula gelisah. Setiap hari tidak pernah berlalu tanpa doa semoga Allah turut menghantarnya ke sana bagi membantu saudara seagama.
“Doa saya setiap hari akhirnya Allah sambut. Saya bersama team dihantar ke Gaza, Palestin. Sebelum berangkat, banyak motivasi yang saya semat dalam jiwa untuk bangkitkan semangat mereka di sana. Namun sebaliknya yang berlaku.
“Kehadiran kami disambut dengan penuh penghormatan. Mereka kata ‘Selamat datang ke tanah kamu sendiri’, ‘Selamat datang ke kampung kamu’, ‘Jangan kamu bersedih. Allah ada bersama kita’. Mereka sangat ceria menyambut kami dengan kata-kata penuh motivasi sampai team aktivis pula yang menangis.
“Ketika kami berjalan-jalan menuju ke tempat bantuan, kami bertemu dengan sekumpulan kanak-kanak. Kami kata pada mereka ‘Kesian kamu diuji begini’. Apa yang anak-anak kecil itu jawab amat mengejutkan kami ‘Jangan kesiankan kami. Allah uji kami begini kerana Allah mahu kami beringat kerana hari akhirat itu benar. Yang sepatutnya dikasihankan adalah mereka di luar sana yang diuji dengan pelbagai nikmat hingga lupa untuk persiapkan diri berjumpa Allah.
“Walaupun mereka masih kecil, tapi pemikiran hanya akhirat. Kata mereka ‘Allah dah ambil ahli keluarga kami. Tapi InsyaAllah kami akan bertemu semula’. ‘Allah ciptakan kematian dan kehidupan untuk melihat siapa yang paling baik amalannya. Allah nak tengok amalan kami’. Kata-kata mereka benar-benar buat kami muhasabah sendiri.
“Dalam keadaan bedil darurat begitu, anak-anak Palestin masih tidak gentar ke sekolah. Sampai saya ada tanya pada mereka ‘Kenapa kamu masih nak ke sekolah?’ Jawapan mereka ‘ Kalau kami tak ke sekolah bagaimana kami nak pertahankan agama dan negara kami? Kami rindu dekat mak ayah, rindu nak jumpa mereka. Sebab itulah kami kena belajar dan dapatkan ilmu yang bermanfaat serta redha Allah.”
Hampir DIBOM DI Syria
Ketika berita tentang darurat di Syria tersebar beberapa tahun lalu, Heliza juga turut serta dalam misi bantuan ke negara terbabit. Di sana, team Heliza berjaya memasuki zon merah di mana hanya terdapat lapan buah keluarga sahaja yang menghuni.
“Ketika di sana, saya bertanya kepada salah seorang penduduk ‘Kamu tidak takut mati?’. Apa yang mereka jawab amat menginsafkan saya. ‘Kenapa nak takut mati? Allah sedang tunggu kami.’ Jawapan mereka seolah-olah tidak sabar untuk mati kerana mahu berjumpa orang yang dirindui.
“Waktu kami sibuk bertemu dan beramah mesra dengan mangsa, kami dapat maklumat diminta lari segera kerana ‘benda bergerak akan di bom’ yang bermaksud pihak musuh mensasarkan kenderaan kami.
“Kami semua berlari masuk ke dalam van untuk mencari tempat perlindungan dan menyorok di dalam liang lahad. Debaran masa tu hanya Allah yang tahu. Bunyi bom dan bedilan sayup-sayup dari jauh.
“Sebelum bom menghampiri kami, team yang berada disitu keluar dari liang lahad dan masuk ke dalam van untuk meninggalkan zon merah dengan segera. Akhirnya kami berjaya selamatkan diri. Kami dapat tahu, lokasi laluan kami ketika itu hancur di bom. Bayangkan sekiranya tidak sempat menyelamatkan diri, tentu kami sudah syahid di sana. Allah lindungi kami.
“Seterusnya saya ke Rohingya, Palu, Lombok dan Yaman. InsyaAllah, jika diberi rezeki lagi saya mahu terus menjalankan projek kemanusiaan ini.
Kematian jawapan penderitaan
Sepanjang menjalankan misi ini, jelas Heliza sebahagian besar daripada mereka bergantung kepada bantuan daripada NGO untuk meneruskan kehidupan.
“Keadaan mereka amat daif. Dengan kebuluran, kehausan sangat menyedihkan saya. Sudahlah masih kecil, kematian ibu bapa pula.
“Begitu juga bantuan ubat-ubatan. Usahkan makanan, ubat-ubatan juga tidak ada. Hospital jauh sekali. Bagaimana mereka mahu ke hospital jika tiada kenderaan utnuk ke sana. Kebanyakannya, akan mati begitu sahaja dengan pelbagai penyakit akibat darurat. Amat sukar kehidupan mereka sebagai pelarian.
“Dengan keadaan mereka yang amat sukar ini, saya berharap sokongan dan bantuan dari anda semua untuk sama-sama meringankan beban mereka,” katanya sebak. — al-Siha
Tanpa kelengkapan pakaian musim sejuk, kanak-kanak ini terdedah kepada bahaya. Masih mampu mengukir senyuman… Mereka saling melengkapi menceriakan kehidupan masing-masing.
Berikut bantuan terdesak yang diperlukan:
• RM200 bantuan selimut
• RM2,500 satu khemah pelarian (1000 diperlukan)
• RM1000 bantuan ubat-ubatan
• RM200 bantuan makanan untuk 1 bulan
• RM250 bantuan alat pemanas
• RM250 bantuan keperluan baju sejuk (untuk 3 juta pelarian Syria)
• Wakaf Masjid
• Wakaf sekolah khemah
• Wakaf Mobile Clinic
• Penempatan Anak Syuhada (Yatim)
• Dapur Ummah untuk masak harian kepada pelarian tanpa rumah
CARA MENYUMBANG KE DANA BANTUAN KECEMASAN RESCUE SYRIA (MAPIM)
1. Saudara yang prihatin boleh terus menyumbang melalui bank pilihan secara online (FPX): www.tabungsyria.com
2. Salurkan Sumbangan Menerusi Maybank Islamic
SYRIA EMERGENCY APPEAL (DANA MAPIM) Akaun No: 562834636987 bantuan yang diperlukan
Ketika di Syria, saya bertanya kepada salah seorang penduduk ‘Kamu tidak takut mati?’. Apa yang mereka jawab amat menginsafkan saya. ‘Kenapa nak takut mati? Allah sedang tunggu kami.’ Jawapan mereka seolah-olah tidak sabar untuk mati kerana mahu berjumpa orang yang dirindui.”