OLEH NURUL FADHLIN CHE ISMAIL
RAMAI wanita percaya bahawa lemah kawalan pundi kencing sebagai satu situasi normal, dan sesetengah daripada mereka tidak suka untuk membincangkan perkara ini kerana beranggapan keadaan tersebut normal bagi mereka yang semakin meningkat usia terutama dikalangan warga emas.
Jadi, adakah benar kencing tiris atau ‘terkucil’ di kalangan wanita yang semakin meningkat usia itu normal?
Menurut Pakar Fisioterapi Kesihatan Wanita dari Vibrance Pelvic Care Centre, Aleeza Hanee Alykallam, punca kepada permasalahan lemah kawalan kencing ini perlu difahami oleh semua.
PUNCA SEBENAR
Jelas beliau, punca utama masalah lemah kawalan kencing ini berlaku disebabkan oleh otot lantai pelvik yang lemah.
“Otot lantai pelvik berada pada kedudukan paling bawah di pelvik wanita yang berfungsi menahan rahim, pundi kencing dan usus.
Kelemahan lantai pelvik menyebabkan wanita mengalami kesukaran mengawal otot di bahagian bawah pundi kencing sekaligus membuatkan mereka mudah terkencing sedikit apabila batuk, bersin atau ketawa.
Terdapat pelbagai sebab otot pelvik menjadi lemah antaranya proses kehamilan, kehamilan yang kerap, sering mengangkat berat, obesiti, bersalin secara normal mahupun pembedahan, menopaus, kerap sembelit (kerap meneran di di dalam tandas) dan sakit belakang.
“Mungkin ada benarnya sesetengah fisiologikal akan berubah dengan pertambahan usia, namun kelemahan lantai pelvik disebabkan oleh faktor penuaan ini boleh dikawal untuk mengelakkan berlaku masalah lemah kawalan kencing.
Oleh itu, masalah lemah kawalan kencing ini boleh diatasi meskipun semakin meningkat usia.
Kaedah untuk mengekalkan kekuatan lantai otot pelvik dan kekal sihat ini boleh dilakukan dengan latihan otot pelvik yang betul.
SENAMAN KEGEL
“Walaupun ia senaman yang mudah namun ramai yang tidak tahu melakukannya dengan betul.”
“Kesilapan dalam melakukan senaman boleh menyebabkan komplikasi lain,” jelasnya.
Tambah Hanee, senaman itu mudah kerana melibatkan otot dalaman dan ia boleh dilakukan semasa pantang tanpa perlu risau tentang keupayaan atau pergerakan berat oleh seseorang wanita.
Senaman kegel dapat menguatkan otot dan melancarkan peredaran darah. Mengambil masa lima minit dan melakukan tiga set dalam sehari.
“Kaedahnya boleh dilakukan secara slow twitch dan fast twitch dalam satu-satu set,” jelas Hanee.
Slow twitch merujuk kepada proses menguncupkan otot tersebut kira-kira lima hingga ke 10 saat manakala fast twitch merujuk kepada menguncup dan melepaskan otot secara berulang tanpa menahan kuncupan.
Tambah beliau, senaman berkenaan juga tidak terhad kepada ibu yang berpantang atau mengandung, malah boleh dilakukan oleh semua orang termasuk lelaki. Ini kerana mengangkat beban yang berat selain pembedahan untuk prostat lelaki juga boleh melemahkan otot lantai pelvis.
Kegel boleh dilakukan dalam beberapa posisi. Dalam posisi baring, kaki hendaklah dibengkok ke atas. Kemut selama 10 saat dan ulang sebanyak 10 ke 15 kali. Untuk posisi merangkak, angkat tangan kanan dan kaki kiri sebelum menguncupkan otot itu selama 10 saat. Ulang sebanyak 10 kali dan selepas itu, tukar kepada tangan kiri dan kaki kanan.
Untuk posisi cangkung, bengkokkan kedua-dua lutut kemudian turunkan pinggul secara perlahan-lahan. Bawa kedua-dua tangan ke hadapan dan lakukan senaman selama 10 saat dan ulang sebanyak 10 ke 15 kali.— al-Siha
CARA-CARA SENAMAN KEGEL
1. KEMUT otot faraj dan otot pelvik dalam keadaan paha dan kaki dirapatkan perlahan-lahan sebanyak 20 kali (boleh dilakukan ketika berdiri, duduk ataupun baring).
2. PERNAFASAN dikawal dengan menahan nafas selama lima saat semasa melakukan kemutan. Nafas dilepaskan perlahan-lahan secara serentak ketika melepaskan kemutan dalam pengulangan empat hingga lima kali.
Punca otot pelvik lemah
1. KEHAMILAN DAN BERSALIN
Kajian membuktikan bahawa masalah lemah kawalan kencing ini bermula ketika wanita sedang mengandung, dan bukan selepas melahirkan anak. Wanita yang kerap hamil, bersalin secara normal mahupun pembedahan, melahirkan bayi adalah berisiko tinggi untuk mengalami kerosakan atau trauma pada otot pelvik.
2. SEMBELIT
Masalah sembelit yang mengakibatkan kekerapan meneran berterusan di dalam tandas juga boleh menjadi punca kepada masalah lemah kawalan kencing.
3. BATUK KRONIK
Batuk yang berterusan kerana asma, bronchitis atau batuk disebabkan rokok juga meningkatkan risiko.
4. ANGKAT BEBAN BERAT
Mengangkat sesuatu yang terlalu berat akan memberi tekanan kepada lantai pelvik dan menyebabkan prolapse.
5. SENAMAN YANG LASAKMelakukan aktiviti sukan yang lasak seperti larian, aerobik, melompat, mengangkat beban di pusat gymnasium boleh meningkatkan risiko terhadap permasalahan ini jika tidak memberikan fokus penjagaan yang baik kepada otot lantai pelvik ketika melakukan senaman tersebut.
6. USIA
Otot lantai pelvik akan semakin lemah seiring perubahan usia. Sebagaimana hormone estrogen menurun, kekuatan otot juga semakin berkurang menyebabkan risiko prolapse lebih tinggi dan membawa kepada masalah lemah kawalan pundi kencing.
7. OBESITI
Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti juga berisiko mengalami masalah lemah kawalan pundi kencing atau ‘terkucil’ ini.
Program Save A Life ini bukan bermakna
kerajaan menggalakkan orang melakukan seks luar nikah.
Tetapi kerajaan mahu beri perlindungan khasnya kepada
bayi dan juga wanita hamil luar nikah.”
– Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
#SaveALife selamatkan bayi
• Bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu risiko kehamilan luar nikah dan komplikasinya serta kesihatan seksual reproduktif dan pembuangan bayi.
• Fokus utama adalah untuk menyelamatkan nyawa bayi yang dilahirkan kerana mereka tidak bersalah dan nyawa mereka sangat berharga.
• Golongan remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini boleh mendapatkan bantuan dengan menelefon Talian Kasih 15999 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Talian Kasih di bawah KPWKM menerima 15,000 panggilan daripada wanita yang mengharapkan bantuan akibat mengandung luar nikah.
Statistik
577 KES DICATATKAN PADA 2015 HINGGA 2018
65 KES DICATATKAN DARI JANUARI HINGGA MEI 2019