Ancaman Bakteria MRSA

MRSA atau dikenali sebagai Methicillin Resistant Staphylococcus aureus ialah bakteria Staphylococcus aureus yang kebal kepada antibiotik oxacillin atau cefoxitin

ISU : MRSA

Bakteria Methicillin-resistant staphylococcus (MRSA), sejenis jangkitan kulit yang telah disedari kewujudannya oleh pihak berkenaan sejak berdekad lalu. Namun, perihal mengenainya tular baru-baru ini selepas didedahkan oleh beberapa individu yang mendakwa dijangkiti bakteria tersebut.

Situasi ini benar-benar mengejutkan penyelidik negara berhubung kes yang dikatakan berpunca selepas mengunjungi pusat urut di ibu negara pada Januari lalu.

Dalam sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH), kira-kira 20 mangsa yang mengalami jangkitan menyuarakan keluhan masing-masing dan laporan perubatan yang diperoleh mendapati mereka telah di jangkiti bakteria MRSA.

MRSA atau dikenali sebagai Methicillin Resistant Staphylococcus aureus ialah bakteria Staphylococcus aureus yang kebal kepada antibiotik oxacillin atau cefoxitin.

MRSA biasanya ditemui di hospital, penjara, rumah penjagaan dan pusat asuhan di mana pesakit yang mendapat jangkitan (terutama jika mengalami luka terbuka) dan sistem imun yang lemah berpotensi lebih tinggi mendapat jangkitan.

Walaubagaimanapun, bakteria MRSA ini tidak pernah tersebar keluar dari hospital dan sejauhmana bakteria ini boleh mengancam manusia? Adakah situasi ini dilihat berbahaya kepada rakyat Malaysia? Adakah perkhidmatan pusat urutan yang ada di negara kita sudah tidak selamat?

Al-Siha menemui Prof. Dr Hui Min Neoh dari Institut Perubatan Molekul Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (UMBI) dan Ketua penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Christopher Lee, bagi mengetahui lebih terperinci tentang perkara ini. — al-Siha

Amaran jangkitan

MRSA dikatakan penyebab jangkitan pada kulit selepas pelanggan mengunjungi sebuah pusat urut yang sama di ibu negara. Adakah perkara ini sepatutnya dihebahkan secara serius kepada orang ramai?

Penyelidik kanan UMBI, UKM, Profesor Madya Dr Hui-min Neoh berkata, antara tugasnya di UMBI adalah untuk mengkaji perkembangan MRSA di Malaysia.

“Kami terkejut selepas mengetahui tentang aduan mangsa yang dijangkiti bakteria MRSA dan berita tersebut diketahui selepas perkongsian daripada salah seorang ahli keluarga,” jelas Prof. Dr Neoh.

Katanya, bakteria MRSA ini biasanya hanya terdapat di hospital selain pusat penjagaan. Sekiranya perkara ini benar, maka kekebalan antibiotik telah merebak dalam komuniti dan keadaan ini membimbangkan.

“MRSA yang terdapat di hospital dikategorikan sebagai Hospital-Associated MRSA, atau HA-MRSA. Walau bagaimanapun, jangkitan MRSA yang di kesan diluar hospital dikategorikan sebagai Community-Associated MRSA, atau CA-MRSA.

Kajian menunjukkan CA-MRSA mudah tersebar, berkembang lebih cepat, dan tahan kekeringan,”ujar beliau.

Mekipun MRSA kebal terhadap antibiotik, namun MRSA diluar hospital masih lagi dalam kajian.

ADAKAH PERKARA INI PERLU DIHEBAHKAN?

Persoalannya, adakah perkara ini perlu dihebahkan sedangkan berita tentang jangkitan MRSA yang dijangkiti akibat mendapat khidmat urut di pusat urut di ibu negara sememangnya membimbangkan.

“Masih tiada bukti kukuh mengenai aduan jangkitan MRSA seolah-olah penyiasatan masih lagi dilakukan terutama punca kepada jangkitan tersebut. Tetapi sekiranya aduan yang diterima itu tepat, maka bakteria MRSA dilihat efektif dalam kelompok yang besar. Kami tidak tahu dari mana jangkitan tersebut diperoleh dan sukar untuk mengenalpasti punca dan menyelesaikan permasalahan ini dari akar umbi,” jelasnya.

Kita tidak sepatutnya panik atau mencetuskan kebimbangan orang awam mengenai isu ini.

“Meskipun ada sumber yang mendedahkan mengenai jangkitan MRSA ini, namun negara diyakini masih selamat dan terkawal,” katanya.

RAWATAN YANG DISEDIAKAN

MRSA kebal terhadap antibiotik biasa dan perlukan antibiotik yang lebih kuat.

Pakar Perunding Kecemasan dan Pensyarah kanan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Dr. Tan Toh Leong berkata, di Malaysia rawatan yang diperlukan untuk MRSA adalah vancomycin, antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan disebabkan bakteria. Tetapi antibiotik jenis ini tidak boleh didapati di klinik biasa.

“Satu perkara tentang jangkitan MRSA ini apabila keadaan jangkitan berbeza bagi setiap individu.
Biasanya, jangkitan berlaku pada kulit, kerana individu mempunyai luka terbuka. Tetapi, sekiranya bakteria ini masuk kedalam badan dan paru-paru misalnya, ia kemudiannya digelar sebagai pneumonia. Sekiranya menjangkiti telinga, maka ia akan digelar jangkitan pada telinga pula,”jelasnya.

“Tiada gejala atau simpton yang dikhususkan kepada jangkitan MRSA ini. Kaedah paling selamat adalah dengan menemui pegawai perubatan sekiranya mengalami jangkitan pada kulit, sesak nafas, deman atau jangkitan pada telinga,” katanya.

Dr. Tan turut menyatakan, sekiranya individu itu masih tidak sihat selepas diberikan antibiotik mengikut preskripsi oleh doktor di klinik, pesakit hendaklah segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Buat masa sekarang, rawatan paling efektif untuk jangkitan MRSA hanya vancomycin dan hanya terdapat di hospital di seluruh negara.

KEKAL SELAMAT

Kewujudan jangkitan MRSA di negara pastinya boleh menimbulkan perhatian umum. Terutama dengan adanya penemuan yang menjelaskan bakteria boleh hidup dimana-mana permukaan lebih dari enam bulan yang meningkatkan lagi risiko.

Walaubagaimanapun, orang awam tidak sepatutnya panik.

“Jangkitan disebabkan oleh bakteria apa sekalipun, pastikan kita sentiasa mementingkan kebersihan seperti mencuci tangan, membasuh tuala, cadar atau alas meja,” jelas Dr. Tan.

“Sabun pencuci dengan antiseptic, dan antibakteria juga boleh membantu membunuh MRSA.

Tambah beliau, dari aspek rawatan, setiap hospital hendaklah memastikan penggunaan antibiotik yang kuat untuk melawan MRSA.

“Orang ramai hendaklah lebih berhati-hati demi keselamatan masing-masing.

Jelasnya, sekiranya individu itu rasa lebih selamat dengan membawa tuala sendiri semasa ke pusat urut, maka teruskan dengan sikap tersebut.

“Sentiasa basuh tangan dengan baik, dan hadkan hubungan fizikal dengan hidung dan mulut kerana bakteria mudah menjangkiti kawasan tersebut,” katanya.

Cegah jangkitan MRSA sebelum terlambat

Sheila telah mendapatkan khidmat urutan di sebuah pusat urut. Apabila pulang kerumah, Sheila mendapati kakinya gatal dan dia pula menggaru bahagian tersebut. Keesokan harinya Sheila mendapati kaki berubah seperti kesan gigitan nyamuk. Selepas beberapa hari, keadaan kakinya kian teruk. Selepas berjumpa doktor di klinik biasa, Sheila dinasihatkan untuk dirujuk ke Hospital. Doktor kemudian mengambil sampel dan keputusan menunjukkan positif Staphylococcus aureus – Methicillin Resistant (MRSA).

Menurut Ketua penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh dan KKM, Datuk Dr Christopher Lee, staphylococcus aureus adalah bakteria yang biasa berlaku dan boleh ditemui dimana-mana sahaja.

“MRSA bakteria yang biasa ditemui di hospital. Bermula dengan kecederaan pada kulit dan kecederaan tisu lembut. Malangnya, sejak 20 tahun lalu, staphylococcus aureus ini telah kebal terhadap antibiotik jenis penicillin dan situasi ini digelar sebagai kerintangan Methicillin. Kami terpaksa menggunakan antibiotik yang berbeza untuk merawatnya,” katanya.

PERBEZAAN MRSA

“MRSA pertama kali ditemui di hospital, ia adalah jangkitan yang terdapat hanya di kawasan hospital sahaja seperti jangkitan yang berlaku selepas pembedahan dilakukan dimana pesakit dipotong kulit. Hospital mengeluarkan kenyataan bahawa MRSA ini bahaya, kerana berpotensi masuk ke dalam darah. Tetapi MRSA sebenarnya boleh diselamatkan sekiranya rawatan dilakukan segera,” jelas Datuk Dr Christopher.

BAGAIMANA CA-MRSA TERSEBAR?

“CA-MRSA biasanya berlaku bagi individu yang aktif bersukan. Gimnasium, komplek sukan, padang latihan, dan juga pusat urut dimana perhubungan fizikal itu normal. CA-MRSA ini juga bersifat pathogen dan mudah menjangkiti melalui sentuhan.

Sebagai contoh, risiko lebih tinggi sekiranya seseorang itu mempunyai sikap suka berkongsi tuala. CA-MRSA di Malaysia jarang berlaku tetapi terdapat peningkatan kes dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

TIPS MENCEGAH MRSA

Datuk Dr. Christopher turut berkongsi beberapa tips yang boleh dilakukan bagi mengelakkan jangkitan CA-MRSA.

“Pastikan kita tidak menggunakan semula tuala yang telah digunakan oleh orang lain semasa melakukan aktiviti senaman di gimnasium atau komplek sukan kerana pathogen boleh berjangkit. Tabiat seperti mengelap terlebih dahulu setiap peralatan yang digunakan harus diterapkan dalam sikap setiap individu, mungkin tidak mampu membunuh bakteria tetapi dengan cara yang betul sebenarnya boleh. Apabila mendapatkan khidmat pusat urut pula pastikan mereka menerapkan kebersihan yang sepatutnya.

Datuk Dr. Christopher menjelaskan tentang perbezaan diantara CA-MRSA dan HA-MRSA

PEKA
Prof. Dr. Neoh menjelaskan bahawa orang ramai boleh kekal selamat dari jangkitan MRSA dengan mengamalkan gaya hidup yang berhati-hati dan proaktif.

RAWAT SEGERA
Dr. Tan memberitahu bahawa MRSA ini rintang terhadap antibiotik biasa dan memerlukan antibiotik yang lebih kuat dan efektif.

Apakah faktor yang meningkatkan risiko MRSA?

• Dimasukkan ke hospital (dikunjungi, dimasukkan ke hospital, bekerja dan lain-lain)

• Mengambil bahagian dalam sukan yang melibatkan sentuhan. MRSA boleh merebak dengan mudah melalui luka dan melecet dan sentuhan kulit ke kulit.

• Hidup dalam keadaan yang penuh sesak atau tidak bersih

• Lelaki homoseksual mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan MRSA.

Cara tangani MRSA?

• Perlu untuk melakukan pemeriksaan semula dengan teratur untuk mengetahui keadaan penyakit dan kesihatan anda.

• Ikut arahan doktor

• Ingat bahawa membasuh tangan adalah cara terbaik untuk menghentikan penyebaran jangkitan.

• Tukar dan basuh barang linen dirumah secara kerap. Gunakan air panas dan pengering panas untuk linen katil dan tuala. Bersihkan kawasan sekitar yang mempunyai mereka yang sakit.

MRSA bakteria yang biasa ditemui di hospital. Bermula dengan kecederaan pada kulit dan kecederaan tisu lembut. Malangnya, sejak 20 tahun lalu, staphylococcus aureus ini telah kebal terhadap antibiotik jenis penicillin dan situasi ini digelar sebagai kerintangan Methicillin. Kami terpaksa menggunakan antibiotic yang berbeza untuk merawatnya.”